KPDNHEP memeriksan barang tiruan di sebuah premis yang diserbu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 626 unit beg, dompet, kasut, pakaian dan tali pinggang berjenama yang dianggarkan bernilai RM10,000 dalam serbuan di dua pusat beli-belah terkemuka baru-baru ini.

Kegiatan jualan produk tiruan empat premis itu terbongkar selepas sepasukan penguatkuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama-sama wakil pemilik cap dagangan membuat serbuan pada 17 Mac lalu.

Dua premis merupakan peruncit yang berniaga di dalam pusat membeli belah terkemuka di Jalan Bukit Bintang dan dua lagi merupakan pemborong di Jalan Kenanga, di ibu negara.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Nurul Syarina Md Anuar berkata, serbuan dilakukan berasaskan pengaduan wakil pemilik cap dagangan setelah hasil risikan selama satu minggu di keempat-empat premis itu.

Beg-beg ditemui penguat kuasa KPDNHEP ketika menyerbu sebuah premis menjual jualan barang tiruan di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur. foto KPDNHEP KL

“Hasil pemeriksaan di keempat-empat premis perniagaan, pasukan serbuan telah menyita 626 unit barang-barang yang disyaki tiruan terdiri daripada beg, dompet, kasut, pakaian dan tali pinggang berjenama yang dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

“Jumlah sitaan bagi keempat-empat premis ini dianggarkan bernilai RM10,000 manalala salah sebuah premis pemborong tersebut juga didapati menjual barangan tiruan berkenaan secara atas talian kepada pelanggan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Nurul Syarina menambah, pihaknya turut menahan dan menangkap seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Menurut beliau, sepanjang tahun 2022 (sehingga Mac), sebanyak 23 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Hak Cipta 1987 telah dirampas membabitkan 25,000 unit barang dengan jumlah RM870,000.

Manakala jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 3.0 bagi tahun 2022 adalah seramai enam orang melibatkan kesalahan berkaitan dengan harta intelek.

KPDNHEP menyerbu empat premis jualan barang tiruan dan membuat rampasan barang di empat premis di sekitar ibu negara baru-baru ini.Foto Sumber KPDNHEP KL

“KPDNHEP akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang Harta Intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 dalam membanteras penjualan barangan tiruan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagangan berdaftar di Malaysia terutama menjelang perayaan Hari Raya Puasa.

Orang ramai juga diminta lebih berhati-hati dalam urus niaga dalam talian terutamanya melibatkan barang tiruan berjenama dan tidak bersubahat dengan membeli barangan tiruan berjenama daripada peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.

Peniaga yang ingkar bakal menerima didenda maksimum RM15,000 bagi setiap barang dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu

Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda maksimum RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette