Seorang ayah menghantar anaknya ke Sekolah Kebangaan Batu Muda, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bimbang dan takut, itu antara perasaan kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah secara bersemuka bagi sesi persekolahan penggal pertama 2022/2023 yang bermula pada hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Sekolah Kebangsaan Batu Muda, di sini, mendapati rata-rata ibu bapa yakin bahawa pembelajaran secara fizikal adalah yang terbaik serta memudahkan berbanding proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Ainul fadhilah Abdullah, ibu pelajar.

Ainul Fadhilah Abdullah, 43, meluahkan rasa bimbang dengan sesi pembukaan sekolah ini kerana keluarganya baru pulih dari jangkitan Covid-19, namun dia yakin pihak sekolah dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi keselamatan pelajar.

“Kami sekeluarga baru lepas pulih dari dijangkiti Covid-19 dan dalam buat masa ini, saya rasa semua okay. Kami juga buat persedian untuk anak-anak bagaimana cara pakai sanitizer dan pelitup muka dengan betul.

“Kita juga sediakan keperluan seperti cikgu minta, iaitu tisu basah, tambahan pelitup muka. Dari segi SOP pula, kalau lihat tadi pihak sekolah memang mematuhi terutama penjarakkan fizikal pelajar. Saya harapkan SOP ini dikekalkan untuk keselamatan anak-anak,” katanya pada pemberita.

Noor Hasliza Abd Hamid, ibu pelajar.

Noor Hasliza Abd Hamid, 34, berkata, anak sulungnya yang memasuki pra sekolah berasa teruja memandangkan ini pertama kali dapat bersemuka dengan guru serta rakan-rakannya.

Katanya, sebagai ibu bapa mereka perlu mengingatkan dan nasihatkan anak-anak masing-masing supaya mengikut arahan yang diberikan guru.

“Buat masa ini, tiada masalah sebab anak saya ini dari semalam tidak sabar ingin ke sekolah. Bimbang itu sudah pastilah dan sebagai ibu bapa, kita ajar mereka jangan sentuh merata-rata tempat dan jangan buka pelitup muka itu sesuka hati.

“Kita juga sediakan sapu tangan, sanitizer dan tambahan pelitup muka. Apa yang kita boleh buat fikir positif yang mana sekolah boleh menjaga anak kita dengan baik.

“Dari segi persiapan sekolah itu semua okay cuma sesi sekolah ini buka tengah bulan, agak membebankan sedikit,”ujarnya.

Abdul Hamid Halim, bapa pelajar.

Turut senada dengan Hasliza, Abdul Hamid Halim, 38, berharap para pendidik dapat menjaga pelajar yang hadir ke sekolah seperti mana ibu bapa menjaga anak-anak mereka dengan baik.

“Semua ibu bapa mesti akan takut dan bimbang tetapi fikirkan masa depan anak ini saya terpaksa hantar. Saya yakin guru-guru di sekolah boleh menjaga anak-anak kami dengan baik.

“Sebab kita dekat rumah memang kita ajar mereka patuh semua SOP yang ditetapkan. Selain itu, cikgu juga maklum bahawa waktu rehat pelajar akan makan dalam kelas tanpa perlu ke kantin. Keadaan itu buat saya rasa macam lega sedikit,” katanya yang merupakan seorang penjawat awam.

Salsmiah Ismail, guru besar Sekolah Kebangsaan Batu Muda.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Batu Muda, Salsmiah Ismail berkata, ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana semua guru serta pekerja pentadbiran di sekolah ini sudah lengkap vaskinasi.

Selain itu, katanya, pihak sekolah telah mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan akan memastikan semua pelajar menjaga jarak mereka apabila berada di kawasan sekolah.

“Kita telah diarahkan oleh KPM untuk pengurusan pembukaan sekolah dengan menggunakan panduan 3.0. Kita sediakan tanda penjarakkan semua tempat dan memastikan kawasan larangan turut ditanda.

“Pihak sekolah juga mengadakan sesi libat urus dengan ibu bapa sebelum pembukaan sekolah iaitu mewujudkan whatsap group untuk kita beri segala informasi pada ibu bapa.

“Buat masa ini, tiada masalah untuk kehadiran murid Tahun 1 dan pra sekolah. Kita juga maklum pada ibu bapa, waktu rehat pelajar akan makan dalam kelas yang mana kita akan tempah makanan.

“Pihak sekolah amat menggalakkan ibu bapa dapat menghantar anak-anak ke sekolah kerana memudahkan sesi pembelajaran secara bersemuka,” jelasnya.

Pengoperasian sekolah penggal satu bagi sesi akademik 2022/2023 yang bermula hari ini mensyaratkan pembelajaran bersemuka secara penggiliran bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima pada Penggal 1 Sesi.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata murid berkeperluan khas (MBK), penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT), prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Enam pula bagaimanapun perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran. – MalaysiaGazette