Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berterima kasih kepada kerajaan dengan pengumuman gaji minimum RM1,500.

Namun pada masa sama berharap pihak berwajib  juga mencari kaedah untuk menurunkan harga barangan oleh peniaga yang mengambil kesempatan dengan perkara itu.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim bimbang berhubung isu kenaikan harga barang yang juga belum ada kesudahan dan menjangkakan ianya akan meningkat naik selepas 1 Mei nanti.

“Kita harap juga kerajaan akan cari jalan untuk turunkan harga barang terutamanya keperluan barangan asas dalam sebulan dua ini bagi mengelakan rakyat terbeban walaupun selepas kenaikan gaji minimum kelak, harap sangat isu ini juga di beri perhatian,” ujarnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO mengumumkan kadar gaji minimum baharu RM1,500 mula dilaksanakan bermula 1 Mei ini di seluruh negara pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 kelmarin.- MalaysiaGazette