KLUANG – Terletak kira-kira 23 kilometer dari Plaza Tol Ayer Hitam, Kedai Kopitiam Tan Li Seng, Kluang, Johor menjadi destinasi utama warga kota mahupun penduduk sekitar hadir untuk bersarapan.

Kopitiam yang sudah berusia lebih 80 tahun itu, sering dikunjungi masyarakat berbilang kaum yang akan menunggu seawal pagi untuk menikmati sarapan yang terkenal seperti roti bakar, nasi lemak, bihun goreng dan kopi.

Pemilik Kopitiam Tan Hai Seng, Linda Tan, 70, berkata, kedai ini telah diusahakan oleh mendiang ibunya sejak 40-an lagi dan beliau kini merupakan generasi ketiga untuk mengekalkan tradisi kopitiam di bandar Kluang itu.

“Kedai ini sudah diwarisi tiga generasi. Sebelum ini, ia dikendalikan mendiang abang saya. Dulu kami meniaga di tempat lain sekitar Kluang juga hampir 12 tahun dan kemudian berpindah di sini hampir lapan tahun. Semua orang boleh makan minum di kopitiam ini,” katanya pada pemberita.

Pemilik Kedai Kopitiam Tan Li Seng, Linda Tan.

Linda merupakan anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, legasi yang ditinggalkan keluarga itu perlu dikekalkan kerana kopitiam berkonsepkan klasik pada masa ini sukar didapati ditambah harganya jauh lebih murah berbanding kopitiam lain.

Selain itu, resepi membuat kopi dan roti bakar yang dihasilkan keluarganya lebih unik serta mempunyai cara tersendiri.

“Sebelum kita buat kopi, cawan kopi akan direndam dengan air panas untuk mengekalkan aroma kopi itu dan pastikan kopi itu kekal panas. Biji kopi di sini akan dikisar sendiri manakala roti masih dibakar di atas arang.

“Kita juga ada tawar menu lain seperti telur rebus separuh masak, nasi lemak, bihun goreng, mee goreng yang dibungkus serta kuih-muih disediakan oleh pengusaha Melayu yang akan hantar awal pagi.

“Selain itu, tin masih digunakan untuk mengisi kopi. Harga secawan kopi adalah RM1.60 dan roti bakar pula hanya RM2.50 sahaja,” ujarnya

Sementara itu, kebanyakkan pelanggan yang hadir di kopitiam ini adalah dari generasi terdahulu yang pasti menjadi nostalgia buat mereka bersama keluarga bahkan ada juga yang sanggup datang dari Pantai Timur.

“Semua orang boleh singgah di kopitiam ini untuk sama-sama menikmati kopi yang sedap dan saya tengok pelanggan yang datang adalah dari pelbagai bangsa.

“Kedai ini juga sudah digelar kedai turun -temurun pelanggan sebab kalau ibu bapa mereka datang bersarapan di sini, sudah pasti menjadi kelaziman untuk anak serta cucu mereka turut hadir.

“Ada juga yang datang naik bas dari negeri lain seperti Kelanta dan Terengganu untuk merasai kopi serta roti bakar di kopitiam ini,” katanya.

Shamsul Khan Ahmad Khan, pelanggan tetap Kedai Kopitiam Tan Li Seng.

Sementara itu, Shamsul Khan Ahmad Khan,56, yang merupakan pelanggan tetap di kedai ini berkata dia mengenali kedai ini dari datuk dan bapanya yang sering berkunjung untuk bersaparan pagi di kopitiam ini ditambah dengan makanan dan minum uniknya itu.

Katanya, kebersihan dan pematuhan prosedure operasi standard (SOP) di kedai ini juga memberi keyakinan pada pelanggan untuk hadir makan di sini.

“Saya mengenali kopitiam ini dari arwah bapa dan datuk saya yang menjadi pelanggan tetap di sini hinggalah hubungan saya dengan Aunty Linda ini rapat macam keluarga. Memang setiap pagi, saya akan datang bersarapan roti dan kopi yang sedap.

“Susah nak cari orang boleh buat roti klasik iaitu roti kerak yang saya rasa ada kat kedai ini sahaja. Satu lagi aroma roti yang dibakar dengan arang lagi membuatkan keluarga saya gemar datang sini dan bawa kawan-kawan dari Kelantan untuk turut merasai.” ujarnya.

Faris Abd Kadir, pelanggan tetap Kedai Kopitiam Tan Li Seng.

Faris Abd Kadir, 37, yang juga pelanggan tetap Kopitiam Tan Li Seng berkata setiap pagi dia akan berkunjung untuk bersarapan di sini kerana terdapat kopi yang enak, nasi lemak daun pisang, roti bakar dalam hidangan yang kecil.

“Saya biasa datang sini dan sudah hampir tujuh tahun mengenali kedai ini sebab kawan-kawan bawa. Biasanya, selepas waktu Subuh memang akan datang bersarapan di sini sebab ada nasi lemak daun pisang yang sedap dan roti bakar terkenal dia.

“Bukan itu sahaja, saya suka sebab menu yang disediakan ini dalam bentuk hidang kecil ditambah kopi yang memang rare serta harga jauh lebih murah berbanding kopitiam di luar,” katanya . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast