Mohd Shahril Che Saad

MELAKA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka tidak menerima sebarang laporan rasmi berkaitan politik wang sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Pengarahnya, Mohd Shahril Che Saad berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat salah laku berkaitan rasuah rasuah sepanjang tempoh 12 hari berkempen bermula 8 hingga 20 November.

“Untuk makluman, kita tiada kertas siasatan untuk PRN lalu dan tiada kertas siasatan dibuka malah kita pun tidak terima maklumat yang boleh menyiasat, kita tidak ada terima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Jalinan Kerjasama Antara SPRM Melaka Dengan CeiO – Memartabatkan Integriti Dalam Perkhidmatan 2022 di Pejabat SPRM Melaka, Alai di sini hari ini.

Tambah Mohd Shahril, pihaknya sentiasa memantau perjalanan kempen PRN Melaka bermula tarikh penamaan calon sehingga hari pengundian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SPRM Melaka menahan seramai 17 individu termasuk 12 penjawat awam selepas membuka 20 kertas siasatan kerana dipercayai terbabit dengan kesalahan rasuah sepanjang tahun lalu.

Selain tangkapan katanya, SPRM menerima sebanyak 157 maklumat berkaitan salah laku dalam jabatan dan agensi sebahagiannya disalurkan oleh Pegawai Integriti Bertauliah (CeiO).

“Kita melihat kepada situasi semasa dengan keadaan Covid-19, ini kita risau trend rasuah tu meningkat bila mana kita tengok kes sara hidup meningkat.

“Jadi apa yang kita harapkan sekarang ini kita pastikan dokumen dasar jabatan, terutamanya OACP, Pelan Anti Rasuah Organisasi jabatan itu sendiri kita bangunkan supaya perkara itu tidak melarat dan boleh menyebabkan trend rasuah meningkat,” jelasnya.- MalaysiaGazette