KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah stesen minyak di Puchong.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, ketika serbuan dilakukan pada Selasa lalu, terdapat dua buah lori sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di dua buah pam berasingan di stesen minyak berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat enam buah tong drum di ruangan muatan lori terbabit yang mengandungi diesel,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, pemandu dan kelindan lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi berurusan secara borong atau runcit barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.

Berikutan itu, tambah beliau, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas pengusaha stesen minyak terbabit kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu selaku peruncit barang kawalan tidak mematuhi arahan pengawal.

Menurut Azman, KPDNHEP turut menyita 2,220 liter minyak diesel, dua buah lori, satu set dekoder CCTV dan invois jualan dan belian berserta dokumen-dokumen perniagaan yang lain bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM169,644, ujarnya.

Beliau berkata, empat individu lelaki yang mana dua daripadanya warga tempatan berumur 30 hingga 50-an yang mengaku sebagai pemandu lori dan pengurus syarikat stesen minyak tersebut turut ditahan.

Azman berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehingga ke lokasi ia diedarkan.

Jelasnya, syarikat stesen minyak itu akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) untuk mengesan, membeku, menyita sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutama berkaitan minyak diesel. – MalaysiaGazette