Najib Razak apa lagi Cina Mahu
Datuk Seri Najib Razak delivering his keynote address during the Penang International Business and Investment Summit. Najib menyampaikan ucap tama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan beliau pernah menyatakan kenyataan ‘Apa Lagi Cina Mahu’ menerusi sebuah laporan akhbar berbahasa Melayu, sembilan tahun lalu.

Beliau berkata, frasa ayat di muka hadapan akhbar tempatan itu digunakan sebagai alat propaganda oleh DAP kerana wajahnya turut digunakan dalam muka surat yang sama dengan tajuk tersebut.

“Itu bukan saya.

“Saya ulangi bahawa saya tidak pernah keluarkan kenyataan sensitif dan angkuh itu,” katanya ketika menyampaikan ucap tama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang di Spice Convention Centre di sini, hari ini.

Difahamkan, ini merupakan kali pertama Najib menafikan kenyataan ‘Apa Lagi Cina Mahu’ secara terbuka.

Laporan muka depan akhbar tempatan pada Mei 2013 itu menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dari pelbagai lapisan masyarakat.

Mengulas lanjut Najib berkata, rakyat Pulau Pinang seharusnya mengingati janji palsu Pakatan Harapan (PH) terutamanya janji untuk menghapuskan tol di Jambatan Pulau Pinang.

Kata beliau, pengundi Cina juga perlu mengingati janji palsu PH yang mahu memberikan RM1,000 setahun kepada pelajar Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Kolej UniTAR) selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Bukan sahaja pelajar tidak mendapat RM1,000 tetapi mereka (DAP) memberikan tamparan hebat kepada sistem pendidikan Cina dengan mengurangkan pembiayaan RM30 juta hingga RM50 juta, sedangkan ketika saya menjadi perdana menteri peruntukan sebanyak RM1 juta diberikan kepada Kolej UniTAR.

“Ini hanya sebahagian daripada janji serta manifesto palsu mereka dan saya rasa cukup dengan itu kerana pasti ramai dalam kalangan rakyat sudah sedia maklum,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast