Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali menyambut baik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai sebuah badan yang bebas dari pengaruh kerajaan mahupun parti politik.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berkata, teguran itu sangat progresif dan sesuai dengan peredaran masa.

Ini kerana, dakwa beliau, selama 14 kali umum melihat walaupun pilihan raya berjalan dengan lancar sejak merdeka, hakikatnya semua orang tahu ia pilihan raya berat sebelah.

“Pilihan raya yang banyak menguntungkan parti pemerintah dan banyak juga berlaku penyelewengan semasa kempen termasuk rasuah dan seumpamanya.

“Putra menyokong penuh titah Sultan Nazrin dan untuk mencapai matlamat itu, ahli-ahli SPR hendaklah dilantik secara langsung oleh Majlis Raja-Raja Melayu tanpa campur tangan kerajaan.

“Sama ada kekal atau lucut ahli-ahli anggota, prosesnya sama sebagaimana dilakukan ke atas hakim-hakim Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, SPR sebagai badan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, wajib menjunjung titah ketaatsetiaan dengan menguruskan pilihan raya secara boleh dipercayai, bebas dan adil, berkecuali dan tanpa memihak serta mengamalkan kesaksamaan yang tidak boleh dipertikaikan dan ketelusan yang tidak akan diragui.

Titah baginda, SPR ibarat pengadil yang mengendalikan urusan persaingan antara calon dan parti politik ketika berlangsungnya pilihan raya.

Justeru, SPR wajib pada setiap masa bersikap berkecuali, tanpa memihak dan kelihatan secara nyata tanpa ragu bersikap berkecuali, tanpa memihak.

Menurut Ibrahim, perkara pokok yang perlu diambil berat oleh SPR mencari jalan bagaimana hendak mengatasi peratusan keluar mengundi yang amat rendah.

Katanya, setiap kali pilihan raya diadakan, peratusan yang menurun ini tidak akan menggambarkan keputusan hakiki dari segi mandat rakyat.

“Sebab mengapa rakyat kurang keluar mengundi, kerana kesedaran mereka mengenai tanggungjawab kenegaraan begitu rendah sekali, rakyat tidak ambil berat.

“Bagaimanapun, cadangan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman untuk mengatasi peratusan keluar mengundi sangat provokatif, tetapi itu saja kaedah yang boleh menentukan mereka ini setidak-tidaknya 50 ke 80 peratus paling minimum keluar mengundi,” katanya.

Mengenai transformasi Parlimen, Ibrahim berkata, satu Jawatankuasa Task Force perlu ditubuhkan untuk menangani beberapa isu berkaitan.

Antaranya kata beliau, sekarang ini isu hangat ialah Akta Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibahas dan diluluskan dalam sesi minggu ini, tetapi ditunda ke sesi lain.

“Begitu juga dengan Undi 18, bagaimana untuk memastikan anak muda dan belia ini menyedari tanggungjawabnya sebagai pengundi, sekali gus keluar mengundi.

“Saya secara peribadi bekas Ahli Parlimen selama tiga penggal berpendapat ada beberapa perkara lain yang menjadi isu pokok yang harus dirungkaikan.

“Antaranya, seseorang Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar tidak boleh pegang jawatan tidak melebihi lapan tahun. Ini harus dilaksanakan,” katanya.

Kata beliau, begitu juga di bawah transformasi Parlimen, perlu mengkaji semula skim gaji dan elaun Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco yang berjumlah tidak masuk akal.

Bayangkan, gaji termasuk elaun seorang Menteri ditambah dengan jawatannya sebagai Ahli Parlimen menerima RM70,000 hingga hampir RM150,000 sebulan.

“Ini sudah melampau, dan paling teruk lagi seseorang ahli politik yang pernah memegang jawatan Menteri Besar kemudian Menteri dan apabila berhenti, mendapat dua pencen.

“Tidakkah ini gila? Ini betul-betul membazir duit rakyat dan tidak patut sama sekali.

“Rakyat menuntut kenaikan gaji minimum RM1,500 pun ambil masa bertahun dan perlu dibahaskan di Parlimen, apabila setuju dilaksanakan, tiba-tiba harga barang keperluan pula naik. Rakyat sentiasa tersepit dan terhimpit,” ujar beliau.

Beliau sedih kerana tidak ada mana-mana parti politik yang berada dalam Parlimen menggesa secara agresif perkara itu diubah, dipinda atau dikaji semula.

Malah, katanya, Putra juga mencadangkan dalam transformasi Parlimen, Ahli-ahli Parlimen tidak dibenarkan menduduki Ahli Lembaga Pengarah GLC atau agensi kerajaan seperti mana dilaksanakan kerajaan Singapura.

Ini katanya, untuk mengelakkan daripada berlakunya salah guna kuasa, ketirisan, menerima gaji dan elaun yang lumayan. – MalaysiaGazette