Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

SEPANG – Jabatan Peguam Negara sedang memuktamadkan rang undang-undang berkaitan pengharaman produk tembakau kepada golongan yang dilahirkan selepas 2005 dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Julai ini.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, rangka rang undang-undang terbabit dijangka dapat diselesaikan minggu depan dan kemudian akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Parlimen.

Khairy Jamaluddin berkata, pengharaman tersebut bukan sahaja melibatkan penggunaan rokok tetapi juga vape.

“Rang undang-undang tersebut sedang dimuktamadkan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Saya rasa dalam seminggu dia ini sudah selesai dan boleh saya bawa ke Jawatankuasa Khas Kesihatan dan Teknologi di Parlimen dulu untuk saya bentangkan,” kata Khairy Jamaluddin.

Media sebelum ini melaporkan, Khairy Jamaluddin pada sesi ke-150 pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Geneva berkata, kerajaan merancang untuk mengharamkan produk tembakau terhadap generasi akan datang.

Ini termasuk melarang penjualan rokok dan produk tembakau kepada golongan yang dilahirkan selepas 2005.

Penguatkuasaan undang-undang itu bermakna golongan yang berusia 17 tahun hari ini tidak akan dapat membeli produk tersebut secara sah dari segi undang-undang apabila mereka mencapai umur tertentu untuk merokok tahun depan.

Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia ingin menekankan peranan tembakau yang menjadi penyebab kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

Tindakan itu akan beri impak besar terhadap pengawalan dan penghapusan NCD.

Khairy Jamaluddin hari ini melancarkan program sukarelawan MyChampion yang mensasarkan penglibatan 10,000 orang yang akan membantu kerajaan dalam kempen kesihatan termasuk NCD.

Dalam ucapannya, Menteri Kesihatan itu berharap sukarelawan dapat menegur mereka yang menghisap rokok di kawasan awam termasuk di dalam kedai.

“Tegur kerana sayang. MyChampion kena tegur, tapi tegur baik-baiklah kepada mereka yang merokok di kawasan larangan merokok.

“Saya penguatkuasa tak cukup nak pergi ke semua kedai makan. Nak bagi kompaun kepada semua yang masih lagi degil dan merokok di kedai makan.

“Takkanlah kita nak buat operasi sampai bila-bila. Nak hantar pegawai dari KKM keluarkan kompaun. Patutnya mereka faham itu adalah amalan yang pentingkan diri dan melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan akan melancarkan ujian saringan kesihatan secara besar-besaran melibatkan 1.5 juta penduduk pada Julai ini.

Beliau akan mengumumkan perincian berkaitan saringan tersebut tidak lama lagi.-MalaysiaGazette