Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hari Air Sedunia merupakan sambutan yang penting dalam usaha menghargai sumber alam itu bagi meningkatkan kesedaran krisis air antarabangsa.

Ia selaras dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu air dan sanitasi untuk semua menjelang 2030, kata Presiden Persatuan Wira Air, Mohamed Hilmi Che Ramli.

Beliau berkata, tema Hari Air Sedunia 2022 yang disambut pada 22 Mac setiap tahun memberi kesedaran bahawa air adalah sumber kehidupan yang merangkumi isi rumah, makanan, budaya, kesihatan, pendidikan, sosio-ekonomi, dan alam semula jadi.

“Wira air menyokong penuh pandangan Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang yang menggariskan tiga perkara penting dalam isu air ini.

“Air yang banyak itu harus ditakung supaya penggunaannya berterusan walaupun pada musim kemarau.

“Kita harus pastikan pencemaran tidak berlaku, baik di sungai atau mana-mana sumber atau punca air.

“Menjaga sumber air adalah wajib dan menjadi tanggungjawab bersama, bukan sahaja pihak berkuasa, tetapi seluruh lapisan masyarakat dalam memastikan bekalan air sentiasa bersih dan cukup,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamed Hilmi berkata, semua mesej ini cukup jelas dan mudah difahami oleh segenap peringkat umur dan kelas masyarakat.

Justeru, beliau berharap agar peranan masyarakat dalam memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan yang dilancarkan pada 2015 oleh PBB dalam memastikan setiap individu mempunyai akses kepada air bersih menjelang tahun 2030 boleh dijayakan. – MalaysiaGazette