Kenderaan siri Porsche Cayenne antara keluaran Porsche AG, ketika dalam proses persiapan terakhir pembinaan sebelum diedarkan kepada pembeli.

KULIM – Kemudahan pemasangan Porsche pertama di luar Eropah dilancarkan secara rasmi di kilang pemasangan dan pengeluaran kenderaan motor Sime Darby di sini, hari ini.

Majlis pelancaran tersebut yang dirasmikan oleh Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Kemudahan itu memasang model Cayenne bagi pasaran tempatan dan ia menyokong komitmen Porsche kepada Malaysia serta rantau Asean serta mencerminkan dedikasi Sime Darby untuk mengembangkan keupayaan pemasangan bernilai tingginya kerana ia merupakan elemen kritikal bagi pertumbuhan perniagaan motornya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kemudahan itu bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan Sime Darby dalam rantaian nilai automotif di negara ini tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan bagi memperkasakan masyarakat setempat.

“Kami amat berbesar hati dengan kepercayaan berterusan Porsche terhadap Sime Darby kerana kami menyediakan produk yang konsisten dengan standard tinggi Porsche terhadap kualiti, prestasi dan pengalaman pemanduan,” katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sime Darby dan Porsche AG di sini, hari ini.

Ahli lembaga eksekutif bagi jualan dan pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen berkata kemudahan itu adalah satu pencapaian baharu bagi syarikat tersebut dan memenuhi impian syarikat kereta sport itu untuk menarik lebih ramai peminat Prosche di Malaysia.

“Strategi pertumbuhan kami menyokong kepentingan Malaysia bagi Porsche ketika kami menyasar untuk mengembangkan kehadiran kami di rantau ASEAN. Dan ia mencerminkan keyakinan kami terhadap Sime Darby sebagai rakan kongsi kukuh kami,” katanya.

Kemudahan pemasangan tempatan Sime Darby menggunakan khidmat 100 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi rakyat Malaysia yang mendapat latihan menyeluruh daripada Porsche.

Ia turut disokong oleh rangkaian pembekal tempatan dan penyedia perkhidmatan di kawasan itu, memperkasakan masa depan masyarakat setempat dengan peluang pekerjaan, prospek menambah kemahiran dan potensi bagi pengembangan seterusnya.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan yang sama mengalu-alukan pengembangan Porsche di Malaysia dan berkata pembangunan itu selari dengan Dasar Automotif Nasional (DAN) 2020.

Beliau berkata kerajaan melihat industri automotif sebagai sektor ekonomi strategik yang berfungsi sebagai akses kepada kemungkinan kejuruteraan ketepatan yang tidak terbatas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata kemudahan pemasangan baharu itu menunjukkan komitmen dan kepercayaan Porsche dan Sime Darby terhadap ekosistem perniagaan Malaysia, terutamanya dalam memasang bahagian-bahagian dan peralatan pengeluar peralatan tulen (OEM).

“Kerajaan Malaysia akan berusaha untuk membina persekitaran yang kondusif bagi peneraju industri asing dan domestik untuk menjalankan perniagaan di Malaysia memandangkan kesediaan negara untuk menyediakan peluang perniagaan jangka panjang dan berhubung dengan rakan teknologi yang berkeupayaan,” katanya.- BERNAMA