Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan portal berita Malaysiakini untuk mengetepikan keputusan oleh mahkamah itu pada 19 Februari lalu yang didapati bersalah menghina mahkamah dalam ruangan komen pembaca sebelum ini.

Tujuh panel hakim yang diketuai oleh Puan Sri Zaleha Yusuf sebulat suara membuat ketetapan itu berkata, hujah yang dikemukakan Malaysiakini bahawa pihaknya tidak mendapat keadilan adalah tidak betul sama sekali.

Sebaliknya kata Zaleha, hak untuk keadilan merujuk kepada hak asasi untuk mendapat perbicaraan yang adil.

“Semua hujah telah dibangkitkan dan telah dipertimbangkan di hadapan semua panel hakim tahun lepas. Memandangkan ini adalah kes kepentingan awam, kita juga tidak membuat apa-apa arahan melibatkan kos untuk hari ini,” katanya atas talian Zoom hari ini.

Pada Februari tahun lepas, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Rohan’s Yusuf telah mendenda Malaysiakini sebanyak RM500,000 dengan mengambil kira komen-komen menghina mahkamah yang diterbitkan di portal terbabit telah tersebar di negara ini dan juga boleh diakses di kuar negara.

Mahkamah Persekutuan dengan keputusan majoriti 6-1 memutuskan portal itu telah menghina mahkamah kerana menerbitkan komen yang tidak wajar di laman sesawangnya.

Sebelum itu pada 17 Jun 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan sebelah Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom Sdn. Bhd yang mengendali portal berita Malaysiakini dan Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan.

Mkini Dotcom dan Gan gagal mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap mereka pada 2 Julai tahun lalu.

Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding itu terhadap Mkini Dotcom dan Gan berkaitan komen lima pembaca mengenai satu artikel yang disiarkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk CJ orders all courts to be fully operational from July 1 yang didakwa bersifat menghina. – MalaysiaGazette