Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian yang dialami Sapura Energy Bhd.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali berkata, isu kerugian RM8.9 bilion yang dialami Sapura Energy sudah menjadi isu nasional sama seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang pernah menggeggarkan negara.

“Apabila meletop bahawa syarikat ini akan gulung tikar kerana rugi berbilion ringgit. Ini satu malapetaka negara selain 1MDB. Sebagai contoh, gaji dan elaun CEO Sapura Energy Berhad mencecah hamir RM200,000 sehari atau lebih RM17 juta setahun adalah tidak masuk akal dan amat gila.

“Ini kerana pelabur atau pemegang saham ini adalah daripada GLC seperti PNB, Maybank, CIMB dan lain-lain lagi yang mengalami kerugian berbilion ringgit.

“Apakah bayaran gaji, elaun dan lain-lain imbuhan diluluskan secara telus dan mengikut protokol pengurusan yang betul,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Putra, hari ini.

Sapura Energy dilaporkan mencatatkan kerugian bersih luar biasa RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.

Syarikat itu dilaporkan sedang mengalami tekanan kecairan, apabila paras hutang dan pembayaran tertunggak terlampau tinggi, ditambah dengan kesukarannya mendapatkan kemudahan kredit.

Dalam pada itu, Ibrahim menggesa agar kerajaan membentang ‘kertas putih’ di Parlimen bagi menyiasat dakwaan bahawa aplikasi MySejahtera akan dijual kepada pihak ketiga.

Menurut beliau, cadangan pembentangan kertas putih itu perlu kerana ia dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dakwaan ini mewujudkan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi dan kemungkinan wujdukan penyalahgunaan maklumat jutaan rakyat Malaysia.

“Memang wajar dan wajib kerajaan keluarkan kertas putih mengenai isu Covid-19 yang sudah mengorbankan puluhan ribu mangsa, belanja kerajaan pun sudah ratusan bilion, sekarang timbul isu penjualan MySejahtera.

“Segala perbelanjaan dan MySejahtera mesti dilaporkan dalam penyediaan kertas putih di Parlimen,” katanya dalam sidang media sama.

Ibrahim memberi amaran sekiranya dua tuntutan ini tidak dipenuhi kerajaan, beliau akan turun ke jalan raya bersama-sama rakyat.

Ia bagi menunjukkan ketegasan rakyat mengenai perkara yang boleh membawa kemudaratan kepada negara.

“Mungkin saya akan kembali beraksi di jalan raya seperti tahun 1970 lalu,” katanya. – MalaysiaGazette