Mohd Johari Hussain

KUANTAN – Seramai 13 orang atlet Program Podium dan tiga orang atlet Pelapis Kebangsaan dari Pahang dikekalkan menjalani latihan kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, kesemua atlet itu akan mengambil bahagian dalam tiga temasya utama tahun ini.

“Tiada atlet dari Pahang yang digugurkan daripada program latihan kebangsaan, kesemua dikekalkan.

“Mereka sedang menjalani latihan persediaan bagi ini iaitu Sukan Sea 2022, Vietnam; Sukan Komanwel 2022 Birmingham, England dan Sukan Asia 2022 Hangzhou, China” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Chon Siang (PH-Teruntum) yang ingin tahu sama ada atlet dari Pahang tersenarai dalam 144 atlet negara yang digugurkan daripada program latihan kebangsaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Jelas Johari, Majlis Sukan Pahang membantu atlet-atlet yang berpotensi untuk diketengahkan dalam kejohanan peringkat kebangsaan sebagai syarat melayakkan diri mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

“Majlis Sukan Pahang telah selesai menyiapkan Pelan Pembangunan Sukan Prestasi Tinggi Negeri Pahang 2021-2030 (REVOS2030) yang bertujuan untuk kemajuan sukan negeri ini.

“Lima teras strategik utama iaitu Kelestarian Bakat Sukan, Atlet Sukan Berprestasi Tinggi, Fasiliti Sukan Berkualiti, Keutuhan Sokongan Persatuan dan Komuniti serta Profesionalisme Pengurusan Sukan,” katanya. – MalaysiaGazette