Tular satu Malaysia klip video seorang pensyarah tegur pelajarnya.

“AYAH kau kerja apa…? Tanya seorang pensyarah. “Tak kerja puan…” jawab anak murid.

Dialog ini mengingatkan Bawah Kolong (BK) pada satu iklan raya, seorang anak bertanyakan ayahnya akan seekor burung yang jatuh dari sarang.

“Bah, ni burung apa…? tanya si anak, lalu ayahnya menjawab, “burung murai…”. Anak mengulangi lagi soalan sama dan tetap dijawab oleh si ayah dengan sabar.

Walaupun nada dialog ini hampir sama tetapi situasi kedua-dua kejadian amat jauh berbeza.

Kejadian pertama menyaksikan seorang guru seolah hilang sabar dengan karenah anak muridnya manakala kejadian kedua pula, memaparkan tahap kesabaran seorang ayah melayani kerenah anak kecilnya.

Dua-dua kejadian itu memberi pengajaran kepada kita semua, dan kedua-dua klip video berkenaan sentiasa diulang tayang di media sosial Facebook, Instagram, Twitter dan Tik-Tok.

BK tak mahu ulas pada dialog burung murai. BK nak ulas pasal klip video seorang pensyarah dengan anak muridnya.

Walaupun video atau kejadian itu sudah lama, tahun lalu berlakunya tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menularkan dalam sehari dua lalu.

BK tidak tahu apa motif pihak berkenaan menularkannya sehingga menjadi antara topik paling hangat dibincangkan di medium media sosial minggu ini.

Topik ini jelas mengalahkan kejadian pelakon Will Smith menampar pengacara Anugerah Academy Oscar, Chris Rock baru-baru ni.

Macam-macam kejadian rakyat dihidangkan dengan perkara memalukan baik dalam mahu pun luar negara tetapi mujurlah ia berlaku sebelum umat Islam menyambut kedatangan bulan mulia, bulan Ramadan yang bermula Ahad ini.

Dalam bab seorang pensyarah menegur anak muridnya, boleh dikatakan BK ikutinya dengan rapat jugalah walaupun sekali tengok rasa menyelirap darah tapi kalau kita fikir secara positif, ia banyak memberi pengajaran yang tersurat dan tersirat.

Pengajaran yang boleh dikutip dari iklan raya kisah ayah dengan anak ini.

Sebenarnya, kes ini bukan baharu. Di zaman BK bersekolah rendah di awal 70-an hingga peringkat menengah di awal 80-an pun sudah alami kes guru marah, tengking, tegur anak murid.

Cuma masa tu tak ada internet, tak ada telefon pintar dan tak ada medium-medium sosial. Yang ada pada masa itu hanya ibu dan bapa atau penjaga kita sahaja. Merekalah tempat kita mengadu apa-apa yang berlaku di sekolah.

Tetapi, aduan kita ni ada kalanya bernasib baik dan tidak kurang juga kurang bernasib baik. Yang kurang bernasib baik itu kerana kita dihamun herdik semula sama ada oleh ibu kita, ayah kita atau penjaga kita.

Seingat BK, setiap kali mengadu perkara ini, mereka tidak pernah memihak kepada BK atau anak-anak mereka malah ditambah lagi dengan cubitan, penampar atau tengkingan mereka.

Bagi mereka, apa yang ditegur oleh guru adalah untuk mendidik kita menjadi manusia yang berguna pada kemudian hari, bukan herdik kosong atau saja-saja guru tu nak herdik kita.

Maka, pada BK, apa yang berlaku antara pensyarah dengan anak muridnya itu adalah perkara biasa. Cuma ada sikit perkataan atau ayat yang disifatkan oleh netizen sebagai menghina golongan tertentu dalam masyarakat kita.

‘Penghinaan’ ini yang kebanyakan netizen tak boleh terima, termasukkan orang-orang tertentu yang turut memberi komen bahawa pensyarah itu tak patut kata begitu, kata begini.

BK malas nak masukkan kata-kata itu dalam tulisan ini, sebab pada BK ia bukan penghinaan sangat pun. Hanya kepada mereka yang putus asa dari soal hidup sahaja anggapnya sebagai penghinaan.

Bagi yang kuat semangat, anggapnya sebagai kata-kata perangsang untuk mereka terus memajukan diri dan keluar dari kelompok yang ada sekarang untuk bersama kelompok yang lebih terkedepan.

Itu pada pandangan BK. Pandangan orang lain BK tak tahu. Sebab, manusia ni rambut sahaja sama hitam, hati dan pemikiran lain-lain.

Baik, berbalik pada topik video pensyarah yang tular itu. Apabila BK menyelinap masuk ke akaun facebook bekas-bekas anak murid pensyarah berkenaan, rata-rata menganggapnya bukan isu besar untuk dibahas dan didebatkan.

Malah, ramai bekas anak murid mengakui mereka telah menjadi insan yang berjaya sekarang hasil didikan agresif atau ekstrim pensyarah itu.

Walaupun, ada yang tidak suka kepada pensyarah itu sepanjang semester pengajian, tetapi apabila tamat, semuanya mengangkat tangan tabik kepada pensyarah mereka.

Itu tanda, pensyarah berkenaan seorang pendidik yang berjaya mendidik dan melahirkan ramai anak murid yang berjaya dalam hidup dan kerjaya, walaupun kaedahnya berlainan dengan guru atau pensyarah lain.

Jadi, BK harap semua netizen bertenang. Tutuplah buku-buku lama, bukalah buku baru. Esok lusa kita dah nak puasa. Pastikan sepanjang 30 hari Ramadan ini, kita menggandakan pahala dengan perkara-perkara yang baik-baik.

Berfikir positiflah sebagaimana si ayah menjawab berulang kali akan burung murai kepada anaknya, tetapi jangan jadi si anak yang cepat hilang sabar bila si ayah bergurau mengulangi pertanyaan burung apa itu dengan niat mahu mengimbaukan kisah dulu bersama anaknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast