Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan penyataan bela saman terhadapnya oleh SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah AS$1.8 bilion.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin yang mengendalikan prosiding atas talian mengarahkan bekas Perdana menteri itu memfailkan penyataan dalam bahasa Inggeris hari ini dan bahasa Melayu seleweng-lewatnya 4 April depan.

Pada 7 Mei lalu, SRC di bawah pengurusan baharu memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudiannya menggugurkan enam nama daripada senarai saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan.

Dalam writ samannya, SRC International mendakwa Najib telah menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dananya selain menyeleweng dana itu.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC International daripada 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC International yang kini dimiliki sepenuhnya Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International setelah menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Najib kemudian memfailkan notis untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. – MalaysiaGazette