Bot tunda milik Indonesia yang ditahan menangkap ikan di perairan Pulau Indah, Selangor hari ini.

KLANG – Sebuah bot tunda dikendalikan dua tekong warga Indonesia yang menangkap ikan di perairan negara tanpa lesen ditahan di perairan Pulau Indah di sini hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor Kepten Maritim, Mohammad Rosli Kassim berkata, bot tunda berkenaan telah dihalang dan ditahan pihaknya kira-kira pukul 8.45 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tunda berkenaan dikendalikan oleh dua lelaki warga Indonesia berumur antara 42 dan 48 tahun.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan tidak mempamerkan sebarang dokumen lengkap selain tekong tidak mempunyai kelayakan membawa bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua tekong warga Indonesia yang ditahan Martim kerana menangkap ikan tanpa lesen di perairan Pulau Indah hari ini.

Bagaimanapun, tambah Mohammad Rosli, kedua-dua suspek  didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah di sisi undang-undang.

“Bot tunda serta dua suspek Indonesia itu kini ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO),” tegasnya.-MalaysiaGazette