Eric Woo (tengah) menunjukkan gambar kapasiti air empangan Air Itam, Pulau Pinang yang menunjukkan penyusutan ketara.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang mengingatkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) serta kerajaan DAP untuk tidak menggunakan alasan penyusutan air di empangan Air Itam untuk menaikan tarif air.

Jurucakap Parti Gerakan Kawasan Air Itam, Eric Woo berkata, pihaknya tidak lihat usaha daripada PBAPP bagi menambah sumber air di empangan Air Itam walaupun isu kekurangan air sering berlaku khususnya pada musim panas.

Jelas beliau, PBAPP kerap mengeluarkan kenyataan supaya penduduk negeri ini agar menggunakan air secara berhemah namun tindakan untuk mengatasi isu kekurangan air tidak dititikberat secara menyeluruh.

Eric Woo.

“Empangan Air Itam siap dibina pada 1962 dengan kapasiti penyimpanan air 2.16 billon liter namun selepas 60 tahun kadar penyimpanan masih pada di tahap yang sama.

“Kita tahu PBAPP dapatkan air dari kawasan Seberang Perai untuk menampung kegunaan di bahagian Pulau tetapi apa yang menjadi persoalan kini mengapa tiada tindakan atau kajian dibuat untuk menambah kapasiti simpanan atau sumber air baharu sebagai alternatif menangani isu kekurangan air di empangan Air Itam.

“Selain itu, jumlah penduduk di kawasan tersebut yang padat dan ditambah pula dengan projek perumahan baru turut dipercayai menjadi punca kekurangan air di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister di sini hari ini.

Tambah Eric Woo, pihaknya mengesa kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengkaji melaksanakan projek meningkatkan kapasiti air di empangan Air Itam termasuk menggaris semula kawasan pembekalan air dari tiga empangan utama di negeri ini.

“Berdasarkan kenyataan PBAPP kapasiti empangan Air Itam kini hanya berada pada paras rendah iaitu 38.5% dan kita bimbang sekiranya isu ini tidak ditangani ia akan menyebabkan penduduk sekitar kawasan tersebut berdepan situasi putus bekalan air bagi kegunaan harian.

”Dalam masa sama, kita juga ingatkan kerajaan negeri agar tidak menggunakan alasan penyusutan air empangan ini untuk menaikan tarif air negeri ini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette.