KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk satu debat terbuka.
Menurut beliau, dirinya sudah menunggu selama 10 tahun untuk berdebat setelah cabaran sebelumnya tidak disahut Ahli Parlimen Pekan itu.
“Saya ambil maklum lontaran cabaran debat dari mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut.
“Beliau kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut bail-out Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Najib menyahut cabaran Rafizi namun memberikan syarat debat itu turut perlu disertai Anwar.
Sindiran Ahli Parlimen Pekan itu susulan Rafizi dilapor mencabarnya berdebat mengenai isu syarikat Sapura Energy Berhad.
“Rafizi nak debat isu Sapura? Boleh. Tapi panggil bos kamu Anwar Ibrahim debat dengan saya. Kamu boleh sama-sama atas pentas untuk debat bersama atau bantu dia.
“Dua lawan satu, tiada masalah.
“Ini seperti kes Azmin cabar debat dengan saya berhubung Felda pada Pilihan Raya Negeri Johor dan saya bersetuju dengan syarat Muhyiddin yang debat dengan saya. Azmin boleh debat bersama atau bantu Muhyiddin,” katanya Najib semalam.
Mengulas lanjut, Anwar memetik pantun pendekar Melayu dengan berkata dirinya tidak takut akan cabaran debat tersebut.
Tuan Puteri pergi ke Lukut,
Bawa pulang kacang panjang,
Sedikit pun hamba tak takut,
Kalau berani turun gelanggang.
“Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Najib,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















