Misbun Sidek. Foto FB

KUALA LUMPUR – Skuad badminton lelaki negara diberi kepercayaan untuk meraih satu pingat emas pada temasya Sukan Sea Hanoi, Mei ini.

Pengurus pasukan, Datuk Misbun Sidek berkata, sasaran itu disandarkan kepada barisan pemain lelaki tidak kira dalam acara apa sekalipun selepas melihat peluang untuk skuad wanita agak sukar.

“Inilah masanya untuk pasukan muda ke depan supaya mereka lebih berani.

“Ia adalah peluang buat pemain seperti Justin Hoh, Siti Nurshuhaini Azman dan Ong Xin Yee menimba pengalaman dan ia penting supaya pada masa depan kita mempunyai pemain pelapis yang boleh galas cabaran negara.

“Jika dulu kita dapat tiga emas, kali ini saya harap pemain lelaki dapat membawa pulang satu emas. Itu adalah sasaran yang ditetapkan kepada mereka,” katanya pada sidang media di Bukit Jalil, lapor Harian Metro Online.

Sasaran itu dilihat sebagai satu yang realistik apabila skuad negara hanya menghantar barisan pelapis dan bukannya skuad senior seperti tiga tahun lalu di Filipina.

Ini kerana berlaku pertindihan dengan kejohanan Piala Thomas/Uber di Bangkok Thailand yang juga berlangsung pada Mei ini.

Pada edisi 2019 di Manila, Malaysia mencipta pencapaian mengagumkan selepas meraih tiga emas dua perak dan lima gangsa dalam tempoh 44 tahun.

Emas disumbangkan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; perseorangan wanita, S Kisona dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast