Mohd. Azhar Abdullah (Kanan) menyambut pesakit antarabangsa dari Indonesia yang ingin mendapatkan rawatan di KPJ Johor di sini.

JOHOR BAHRU – Johor kembali menjadi tumpuan destinasi pelancongan kesihatan daripada pesakit luar negara khususnya Indonesia selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa sejak 1 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd. Azhar Abdullah berkata, sehingga hari ini purata kehadiran yang diterima pihak mereka antara lapan hingga 10 pesakit antarabangsa, sehari.

Pesakit antarabangsa yang berkunjung ke hospital berkenaan merupakan pesakit berulang mahupun pesakit baharu.

“KPJ sudah pastinya mengalu-alukan langkah pembukaan sempadan antarabangsa hingga membolehkan kita terus memberi rawatan kepada pesakit-pesakit antarabangsa kami.

“Jumlah kehadiran pesakit antarabangsa juga dijangka terus meningkat dari hari ke hari, kita juga sudah menerima 20 tempahan untuk beberapa hari akan datang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPJ turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk mengambil dan menghantar pesakit daripada Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut.

“Pihak kami ada menyediakan perkhidmatan shuttle bus untuk menghantar pesakit dari hotel penginapan mereka, yang mana kita telah bekerjasama dengan beberapa hotel di sekitar Johor Bahru,” ujarnya.

Mohd. Azhar turut memberitahu, sebelum pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu, kira-kira 20 peratus pesakit yang mendapat rawatan di Hospital Pakar KPJ Johor merupakan pesakit antarabangsa.

Dalam pada itu, seorang pesakit antarabangsa hospital berkenaan, Merina, 34, berkata, dia telah membuat tempahan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital ini sebaik sahaja dimaklumkan sempadan antarabangsa Malaysia akan dibuka pada 1 April lalu.

“Sebelum ini saya pernah mendapatkan rawatan di hospital ini pada 2018, namun selepas tahu sempadan Malaysia sudah dibuka semula, saya datang lagi ke sini untuk mendapatkan rawatan.

“Saya juga ke sini kerana cadangan kawan-kawan yang memuji perkhidmatanyang  disediakan, terbaiklah doktor-doktor pakar yang bertugas di sini,” katanya yang dari Batam, Indonesia.

“Sama seperti yang lainm saya perlu memastikan sudah menerima tiga dos suntikan vaksin, selain turut membeli perlindungan insurans.

“Saya tiba di Johor semalam dan dijadualkan pulang semula ke Batam pada 9 April ini jika rawatan saya berjalan lancar dan ada waktu terluang, saya akan turut berjalan-jalan di sekitar bandar raya ini,” katanya yang ditemui di KPJ Johor untuk melakukan rawatan.-MalaysiaGazette