Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan pemberian bantuan khas Aidilfitri kepada kakitangan awam negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor berkata, bantuan khas itu diluluskan dalam mesyuarat Exco hari ini.

“Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini meluluskan Bantuan Khas Aidilfitri Kakitangan Awam Negeri Kedah sebanyak RM1,000 seorang.

“Kelulusan ini akan melibatkan semua kakitangan awam pelbagai peringkat dan jawatan melibatkan peruntukan RM5.35 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri juga meluluskan bantuan khas hari raya kepada Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK) seluruh negeri melibatkan 2,050 orang penerima dengan peruntukan RM305,750.

Jelas Sanusi, bantuan itu akan disalurkan melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.

Tahun lalu, jumlah sama turut diberikan Kerajaan Negeri Kedah melihatkan 5,300 penjawat awam. – MalaysiaGazette