Idris Ahmad
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Putrajaya mengharapkan agar kuota jemaah haji Malaysia ditambah oleh kerajaan Arab Saudi bagi musim haji tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, perkara itu sudah dipanjangkan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah ketika pertemuan  pada 18 Mac lalu.

“Kita harap dan saya berjumpa dengan Menteri Haji Arab Saudi, Malaysia harap kuota itu ditambah kepada Malaysia.

“Malah Indonesia pun berharap perkara sama,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Iftar Ramadan sempena Hari Al-Azhar Sedunia dan ulangtahun Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) di Masjid Wilayah petang tadi.

Sebelum ini, Idris ke Arab Saudi bersama-sama negara lain bagi membincangkan mengenai ibadah haji tahun ini.

Dalam sidang media sama, Idris berkata. semua negara masih belum mengetahui mengenai kuota masing-masing.

Jelasnya, perkara itu masih lagi belum dimuktamadkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Setakat hari ini belum lagi diberi kepada mana-mana negara lagi berkenaan jumlah kuota jemaah haji. Saya tidak mendapat maklumat mengenai pengumuman kuota jemaah haji di Arab Saudi kerana setakat ini kami hubungi pengurus besar bahagian Haji, mereka pun tidak beri maklumat.

“Belum lagi diumumkan kita jangka sebelum Ramadan tapi belum lagi ada maklumat,” katanya lagi.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600 jemaah sahaja. – MalaysiaGazette