Geng Amy Sandora aktif pecah rumah dan larikan barang katering Mac lalu tersungkur dengan semua 10 ahli kumpulan jenayah itu dicekup polis semalam. - Gambar Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Walaupun pernah ditangkap namun serik seakan-akan tidak ada dalam kamus hidup mereka dan masih mengulangi perbuatan jenayah samun dan pecah rumah.

Namun, tindakan terbaharu Geng Amy Sandora yang memecah masuk setor di Kampung Sijangkang Telok Panglima Garang Banting dekat sini dan melarikan set barangan katering menyebabkan mereka sekali tersungkur di tangan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pada 1 Mac lalu, pihaknya  telah menerima laporan daripada seorang guru sekolah mengatakan bahawa stor yang menyimpan barang-barang katering dan kanopinya telah dipecah masuk oleh beberapa individu yang tidak dikenali.

Barang yang hilang berupa enam unit set tray bulat, dua buah tong dapur gas, 800 biji cawan dan pinggan, empat set dome, dua buah plus nasi besar, seunit pemotong besi, empat buah bateri lori, satu set rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan empat buah bekas air.

Bertindak atas aduan,  sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Telok Panglima Garang malam tadi berjaya membuat tangkapan terhadap lapan orang lelaki warga tempatan di Kampung Sijangkang.

Semasa tangkapan dibuat beberapa suspek sedang berkhayal kerana menghisap dadah di salah sebuah rumah di kampung tersebut.

“Hasil soal siasat beberapa suspek yang ditangkap dan berpandukan maklumat mereka pada hari sama jam lebih kurang 3.10 pagi polis melakukan serbuan kedua dan mencekup rakan sejenayah iaitu dua lelaki warga tempatan di di kampung sama.

“Malah pemeriksaan ke atas mereka polis berjaya menemui semula barang-barang katering dan alat dapur milik pengadu yang disyaki hilang pada hari kejadian itu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, kesemua suspek yang ditangkap adalah lelaki tempatan yang berumur 27 tahun sehingga 38 tahun.

Daripada 10 suspek itu, lapan orang yang ditangkap masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik dan kes jenayah pecah rumah serta curi motosikal.

Malah kumpulan ini juga pernah ditangkap atas kesalahan yang sama pada tahun 2021 dan mereka kini ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat.

Kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan.- MalaysiaGazette