IMBAS SEMULA, Goh Leong Yeong atau dikenali Alvin Goh diiring ketat pegawai penjara untuk dituduh atas kesalahan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Goh Leong Yeong yang direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 atas dakwaan melakukan kegiatan perjudian dalam talian secara haram dibebaskan selepas ditahan lebih satu setengah tahun mengikut akta itu.

Tertuduh yang lebih dikenali dengan nama Alvin Goh itu telah dibebaskan dari pusat tahanan di Simpang Renggam, Johor oleh Mahkamah Tinggi di sini dua hari lalu.

Menurut peguam mewakili Alvin, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Roz Mawar Rozain telah membuat ketetapan penahanan dibuat Alvin sebenarnya tidak mengikut undang-undang dan sepatutnya dibebaskan.

Selain meneliti semua afidavit pihak berkuasa, Roz Mawar juga berpandangan penahanan Alvin tidak ada sebarang elemen keganasan terancang.

Untuk makluman, pada November 2020, Alvin gagal merayu di Mahkamah Persekutuan supaya writ habeas corpus dikeluarkan untuk pembebasannya.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat menolak rayuan yang dikemukakan Alvin selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan writ habeas corpusnya.

Keputusan majoriti itu diperoleh daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abdul Rahman Sebli manakala Hakim Ong menentang.

Dalam keputusan majoriti mahkamah, Hakim Zabariah memutuskan penahanan Alvin di bawah Seksyen 4 (1) (a) POCA adalah bersifat akademik selepas tahanan remannya telah berakhir dan dia tidak lagi ditahan di bawah seksyen itu.

Manakala pada 16 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Alvin untuk writ habeas corpus selepas bersetuju dengan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Sinti bahawa permohonan itu telah menjadi akademik kerana dia kini ditahan di bawah perintah yang berbeza di bawah POCA.

Alvin bertindak memfailkan permohonan habeas corpus itu dengan menamakan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden.

Dalam keputusannya ketika itu, Hakim Zabariah berkata, dalam keadaan apabila seseorang itu tidak lagi ditahan di bawah seksyen tertentu writ habeas corpus terhadap penahanan sedemikian sepatutnya tidak dikeluarkan.

Hakim Zabariah juga berkata, Seksyen 4 POCA adalah berperlembagaan dan tidak melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette