Penulis (kiri hadapan) membuat persembahan gamelan.

PADA tahun 2020, kita berbangga bahawa pantun berjaya dimasukkan dalam kategori Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, secara pencalonan bersama oleh Malaysia dan Indonesia. Perhubungan baik para sasterawan Malaysia dan Indonesia selama beberapa tahun, seperti Prof Emeritus Muhammad dan Prof Teti Pudentia dari Asosiasi Tradisi Lisan Indonesia (dan Kementerian Kebudayaan kedua-dua negara) membuka jalan memastikan bahawa pantun diberi pengiktirafan bersama dua negara oleh UNESCO.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, pada masa itu berkata pengiktirafan itu menjadikan jumlah warisan kebudayaan tidak ketara negara yang tersenarai di bawah Senarai Wakil kepada lima iaitu kali pertama pada tahun 2005 menerusi pengiktirafan mak yong, dondang sayang (2018) dan silat (2019) dan kini wangkang dan pantun (2020).

Di negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand, industri jingga (kreatif, seni dan budaya) adalah pemacu ekonomi yang sangat tinggi, merupakan penyumbang KDNK sebanyak 5% hingga 7%. Kita perlu bergerak seiring dari pihak kementerian, agensi kerajaan dan pengusaha seni dan budaya memacu ekonomi jingga supaya menyumbang lebih dari 2% kepada ekonomi Negara.

Kementerian pendidikan juga memainkan peranan penting memperkasa seni dan budaya di kalangan pelajar senua peringkat dari tadika ke universiti dalam kesusasteraan, seni visual, musik tradisional, persembahan budaya teater dan tarian dan bermacam-macam lagi.

Di Indonesia, dari pihak tadbir urus negara hingga pengusaha kecil budaya, mereka begitu serius dalam mempertahankan budaya. Beberapa tahun yang lampau, Pak Kipar, seorang penarik beca yang menmbawa saya ke sana ke mari seluruh pelusuk bandar Jogjakarta dan beliau membuka mata saya pada keindahan Jogja di waktu pagi, melalui jalan batu kecil di celah kawasan villa indah serta menikmati keindahan pandangan Gunung Merapi. Dialah yang menunjukkan saya kedai karya perak, kedai seni dan batik terbaik di situ. Pak Kipar sentiasa berkongsi kisah-kisah di Jogja, cintanya pada budaya dan tempat asalnya sangat murni.

Ketika kami tiba di House of Puppet Masters di perkarangan Kraton Jogjakarta, terdapat ceramah wayang kulit sedang berlangsung, dengan tetamu dari Afrika dan Jepun. Saya dapat mendengar lebih baik ketika kami masuk, dan terkejut ceramah itu dikendalikan dalam bahasa Perancis dan Jepun. Rupa-rupanya, House of Puppet Masters ini berazam memperkenalkan Wayang Kulit dalam seberapa banyak bahasa yang mungkin. Pak Ari kemudian keluar untuk menyambut kami, dan kami pun berbual.

“Di Jogja, budaya adalah falsafah terpenting untuk semua.

”Budaya mendahului segalanya. Dengan budaya, kita menguatkan jatidiri, identiti. Budaya adalah pengikat, payung yang menyatukan kami semua. Jika kita tidak bersatu hati dan mempunyai kekuatan jati diri, bagaimana kita hendak melakukan apa-apa?”

”Ugama kita mungkin berlainan, tetapi budaya adalah kepunyaan kita semua,” kata Pak Ari.

Perbualan ini membawa saya kembali pada keadaan kita di Malaysia.

Jika kita boleh berterus terang, kita dapat lihat bahawa defisit seni dan budaya melemahkan identiti kebangsaan kita semua. Anak anak Malaysia rata-rata, tidak mengenali gamelan, tarian zapin, asyik atau keindahan Mek Mulung, malah Makyung, kesenian kita yang diberi pengitirafan UNESCO. Mereka tidak kenal hikayat dań cerita rakyat seperti Cik Siti Wan Kembang, mahupun Puteri Santubong atau Malim Deman.

Sebenarnya, banyak manfaat dilihat pada pembangunan sosio-ekonomi terutamanya melalui sektor pelancongan, sumbangan ekonomi jingga untuk merancakkan kegiatan usahawan sektor budaya serta bidang-bidang berkaitan. Lebih penting lagi, seni dan budaya memberi kekuatan jati diri serta keharmonian bersama dalam masyarakat. Dapat dilihat juga, aspek ini menyemarakkan kreativiti dan kekuatan mental dalam anak muda generasi hadapan apabila mempunyai pendedahan pada dunia seni, budaya dan kreatif.

Untuk memimpin Malaysia di persada dunia, perlu ada jatidiri dan identiti yang kuat. Dan kita lihat kesedaran ini semakin timbul di kalangan pemimpin yang mengutamakan bahasa, budaya dan menyemarakkan sikap membaca. Kerjasama dan persefahaman serantau juga penting untuk kebaikan bersama. Formula kejayaan memperkasa pantun di tahap UNESCO pada tahun 2020 boleh digunakan dalam isu memperkasa bahasa Melayu di persada antarabangsa. Kerjasama ahli akademik, kementerian, jabatan dan agensi, serta sastrawan dan budayawan yang bertanggungjawab dalam hal budaya dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura hingga ke peringkat tertinggi pasti membawa kebaikan menyeluruh.

Warisan budaya buat generasi seterusnya

Kurikulum di sekolah kebangsaan menjadi tempat yang baik untuk bermula memperkasa budaya. Warisan budaya dan nilai-nilai teras perlu dalam anak-anak kita. Seni dan budaya adalah sama penting dengan sejarah dan bahasa. Pada masa yang sama, mempromosikan Mandarin dan Tamil sebagai pilihan elektif di sekolah kebangsaan adalah langkah bijak.

Kepentingan Jawi membuka kunci beribu-ribu manuskrip Melayu di Malaysia dan di muzium dan perpustakaan terkenal di lebih daripada 60 buah negara di seluruh dunia.

Defisit budaya memerlukan transformasi budaya seperti yang ditunjukkan pada tahun 1848 di seluruh Eropah, dua puluh tahun kemudian di Jepun, keajaiban ekonomi Han Han Korea 60 tahun yang lalu dan lonjakan ekonomi pasca insiden Tienanmen di China.

Defisit budaya ini boleh diperbaiki oleh generasi pemimpin yang memperkasa nilai teras dan budaya yang dapat membina komuniti yang harmoni dan budaya yang moden, tanpa mengorbankan identiti. Untuk ini, saya mencadangkan transformasi yang berpaksikan budaya, warisan, dan seni kreatif untuk mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang mampan.

Visi 2030 boleh menjadi rangka kerja yang dapat dipertingkatkan untuk mencapai matlamat ini. Melalui ini, kita akan membawa keharmonian kembali ke dalam kehidupan kita terutama anak-anak kita. Merangkul budaya yang menekankan pembinaan negara melalui kebersamaan untuk melestarikan semula seni dan budaya negara. Perkasakan warisan beratus tahun yang dipenuhi dengan nilai murni, ilmu dan kearifan lokal sebagai aspirasi.

Barulah kita boleh membina negara yang hebat dan bertamadun.

Zalina Abdul Aziz @ ninotaziz

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast