KUALA LUMPUR – Satu petisyen dalam talian telah dilancarkan bagi mendesak supaya pelantikan aktivis Syed Azmi Alhabshi sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditamatkan.

Selain itu petisyen berkenaan turut mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd. Harun supaya turut menamatkan pelantikan Syed Azmi sebagai Ahli Pemegang Amanah (APA) Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Petisyen tersebut dibuat berkaitan kes seorang gadis remaja sindrom down berusia 13 tahun, Bella yang disyaki telah didera semasa berada di bawah jagaan Pusat Perlindungan Rumah Bonda yang kini sedang dibicarakan di mahkamah.

Menurut petisyen yang dibuat oleh tiga individu, Syed Azmi merupakan penasihat dan pengasas bersama pusat perlindungan terbabit.

Penamatan lantikan Syed Azmi sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak adalah perlu bagi mengelakkan unsur bias dalam kes Bella.

“Berdasarkan penglibatan beliau dalam kes pengabaian dan penganiayaan Bella didapati peranan beliau sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dianggap tidak berintegriti.

“Pelantikan beliau boleh menjejaskan imej Kerajaan untuk memastikan tiada conflict of interest dalam mana-mana kes di bawah Akta 611.

“Memandangkan beliau juga merupakan Penasihat dan Pengasas Bersama Pusat Perlidungan Rumah Bonda, sehubungan itu terdapat conflict of interest dalam peranan beliau sebagai Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” kata petisyen tersebut.

Petisyen berkenaan dibuat oleh tiga individu iaitu pensyarah Muhamad Firdaus Ibnil Hajar serta dua orang peguam Fatihah Jamhari dan Megat Syezlee Mokhtarom.

Bagi desakan pemecatan sebagai APA YKN, mereka berpendapat Syed Azmi seharusnya memiliki sikap dan tanggungjawab yang tinggi dalam menjamin kebajikan kanak-kanak dan keluarga dilindungi.

“Namun, sikap dan tingkah laku beliau adalah bercanggah dengan peranan tersebut di mana beliau didapati tidak memperjuangkan kes pengabaian dan penganiayaan Bella seperti mana kes-kes sebelum ini.

“Selain daripada itu beliau juga turut gagal untuk memastikan Rumah Bonda didaftarkan secara sah di bawah JKM Kuala Lumpur.

“Hal ini tidak dapat dinafikan lagi kerana beliau merupakan Penasihat dan Pengasas Bersama Pusat Perlindungan Rumah Bonda, premis di mana kejadian pengabaian dan penganiayaan Bella dipercayai telah berlaku dan beroperasi secara haram,” katanya.

Petisyen yang dilancarkan sejak seminggu lalu itu mendapat lebih 35,000 sokongan. -MalaysiaGazette