Bella Siti Bainun Rumah Bonda Down Syndrome abuse neglect

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pasukan pembelaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bagi melawat kembali lokasi kejadian dera seorang remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Pembelaan memohon ke lokasi memandangkan saksi pendakwaan ke-5, Yasmin Nahar Mahmood, 18, telah memberikan gambaran terperinci beberapa insiden mendera Bella di lokasi berkenaan dipercayai sebuah kondominium di Wangsa Maju.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi meletakkan syarat hanya beberapa pihak sahaja boleh ke lokasi tersebut iaitu hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan, saksi serta tertuduh sahaja.

Sebarang kenyataan berhubung lawatan itu hanya akan dikemukakan selepas itu.

Menurut peguam mewakili Siti Bainun, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, hakim membuat ketetapan itu dalam kamar pagi tadi selepas meneliti permohonan mereka.

“Lawatan ke tempat kejadian di mana Bella dikatakan di aniaya dan diabaikan adalah sangat penting apabila saksi SP5 memberikan deskripsi yang tidak boleh dizahirkan melalui gambar-gambar yang dikemukakan di mahkamah.

“Ini juga penting bagi memastikan mahkamah dan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memahami dan menghargai keterangan-keterangan yang telah serta bakal diberikan di mahkamah mengenai lokasi kejadian,” katanya kepada media hari ini.

Kata Nur A’minahtul Mardiah, permohonan lawatan ke tempat kejadian adalah satu permohonan yang biasa di buat dalam kes-kes perbicaraan jenayah dan merupakan satu bentuk proses yang dinamakan in the interest of justice.

Sebelum ini, Jumaat lepas, Yasmin mendedahkan Siti Bainun mengarahkan dia untuk mengigit perut Bella kerana remaja itu tidak mengikuti arahan tertuduh untuk berdiri di bahagian dobi kondominium tersebut yang didiami mereka.

Berikutan kejadian itu, Yasmin berkata, Siti Bainun naik berang dan mengarahkannya untuk mengambil picagari berisi air panas untuk dipancutkan kepada Bella sebagai hukuman kerana tidak mendengar cakapnya.

“Saya lihat Bella menggelupur tetapi dia tidak menjerit kesakitan…melihatkan keadaan itu, Siti Bainun semakin marah dan arahkan saya untuk gigit perut Bella,” katanya ketika dirujuk dengan sekeping gambar Bella dengan kesan gigitan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Izralizam Sanusi akan bersambung Rabu ini. – MalaysiaGazette