Michael Feichtenbeiner. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner tidak terganggu dengan satu gol dibolosi lawan sebaliknya lebih fokus kepada empat jaringan yang telah diraih untuk menewaskan Kedah Darul Aman FC 4-1 dalam aksi Liga Super, kelmarin.

Beliau menjelaskan, anak buahnya lebih fokus kepada aspek menyerang kali ini bagi memburu jaringan dan enggan meletakkan kesalahan kepada pemain apabila skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berjaya menghasilkan gol sagu hati pada penghujung perlawanan.

Baginya, kemenangan sulung yang diraih pasukan amat penting selepas berdepan keputusan seri dalam dua perlawanan terdahulu sambil menyifatkan momentum kemenangan seperti ini yang perlu dikekalkan dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

“Saya gembira dengan persembahan pasukan dan mereka telah mencipta banyak peluang untuk membunuh aksi lawan dan secara keseluruhan prestasi yang cemerlang telah ditampilkan pemain.

“Saya tidak terganggu (dengan gol bolos) sebab kita memang mahu menyerang dan saya ambil risiko daripada segi pertahanan jadi saya tidak menyalahkan sesiapa dan pemain memang mencipta peluang di depan,” katanya.

Keputusan semalam menyaksikan Selangor akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama sekaligus lebur rekod tanpa kalah Kedah sejak tiga perlawanan lepas.

Feichtenbeiner menambah, Selangor perlu menikmati empat jaringan itu selain tidak mengamalkan permainan hanya bertahan sepanjang masa.

“Kita mahu menyerang dan jadi ada risiko yang perlu diambil.

“Bagi saya, daripada awal musim lagi Selangor diletakkan sasaran tinggi dalam kalangan penyokong dan tekanan sememangnya tinggi untuk pemain, kita ada membuat kesilapan juga tetapi secara keseluruhan hari ini (semalam), mereka telah memberikan yang terbaik meskipun dalam tekanan”, jelasnya. – MalaysiaGazette