KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah di pentas dunia apabila mencapai kejayaan terbaharu disenaraikan dalam penarafan QS University Rankings by Subject 2022 yang mana pertama kali UTeM menyertai senarai tersebut.

Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan ini telah diumumkan pada 6 April 2022 lalu yang mana UTeM tersenarai dalam dua bidang iaitu kejuruteraan (mekanikal, aeronautik & pembuatan) pada kedudukan 451-500 dan
bidang sains komputer dan sistem maklumat pula pada kedudukan 651-670 di peringkat dunia.

Jelasnya, kejayaan penyenaraian 2 bidang UTeM ini dilihat bertepatan sekali dengan fokus dan identiti UTeM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang terus memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi negara bertaraf dunia.

”Penarafan QS World University Rankings by Subject ini menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 51 bidang khusus yang membentuk lima bidang utama.

”Sementara itu, komponen utama penilaian pula adalah reputasi, sitasi, penerbitan serta satu komponen baharu iaitu jaringan kolaborasi antarabangsa dalam penyelidikan,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, keberadaan UTeM dalam kedudukan universiti terbaik dunia membuktikan bahawa UTeM sebuah institusi kecemerlangan ilmu terutamanya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan terus berprestij setanding
dengan universiti terkemuka lain di pentas antarabangsa.

Pencapaian sulung yang membanggakan ini tentunya adalah sepakat usaha bersama yang tidak pernah berbelah bahagi antara pihak pengurusan tertinggi, pensyarah, pentadbir dan seluruh warga UTeM.

Ujar Massila lagi, UTeM mensasarkan pencapaian ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa selari dengan aspirasi Pelan Strategik UTeM 2021-2025: ‘Seven Strategic Goals of UTeM’ dalam tempoh lima tahun. – MalaysiaGazette