Bomba menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun yang terperangkap dalam kereta jenis Ford Range ketika bapanya mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Tanjung Malim pagi tadi. -- Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

lPOH – Seorang kanak-kanak lelaki terperangkap di dalam kereta yang terkunci di sebuah stesen minyak di Bandar Behrang, Tanjung Malim hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam satu kenyataan berkata Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim menerima panggilan mengenai insiden itu pada 8.44 pagi tadi.

“Setibanya anggota di tempat kejadian, seorang kanak-kanak berusia setahun tujuh bulan terperangkap di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Ford Ranger dengan enjin masih hidup semasa bapanya mengisi minyak,” katanya.

Beliau berkata anggota bomba menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka pintu kereta tersebut sehingga berjaya dan operasi tamat sepenuhnya pada 9.11 pagi.

— BERNAMA