Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Minat belian diperbaharui yang muncul pagi ini menyaksikan Bursa Malaysia pulih semula untuk dibuka tinggi pada sesi awal urus niaga.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.41 mata menjadi 1,601.54 berbanding 1,597.13 pada penutupan petang urus niaga Selasa.

Indeks utama itu dibuka pada 1,599.62, mengukuh 2.49 mata.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 207 berbalas 103 manakala 222 kaunter tidak berubah, 1,721 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Sebanyak 199.14 juta dicatatkan untuk jumlah dagangan yang bernilai RM70.68 juta.

Menurut nota penyelidikan Malacca Securities Sdn Bhd, ia menjangkakan keadaan ketidaktentuan akan berterusan memandangkan data Indeks Harga Pengguna (CPI Amerika Syarikat yang lebih tinggi daripada jangkaan sementara pelabur mungkin memberi tumpuan kepada kadar inflasi yang dipercepatkan, dan ini mampu mencetuskan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih kepada menaikkan kadar faedah bagi meneruskan dasar monetarinya.

Di pasaran komoditi, ia berkata harga minyak mentah Brent didagangkan sekitar US$105 setong manakala harga niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) berlegar melebihi RM6,100 – kedua-duanya mengukuh susulan pelonggaran sekatan pergerakan COVID-19 di China.

“Kami melihat minat belian dijangka berterusan sekitar sektor perladangan dan minyak dan gas di tengah-tengah pengukuhan harga minyak mentah Brent dan FCPO.

“Sementara itu, sektor pembinaan dan bahan binaan semakin mendapat tarikan kerana pelabur positif dengan kaunter berkaitan kerajaan berikutan spekulasi pilihan raya awal,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kedua-dua Maybank dan CIMB naik dua sen, masing-masing kepada RM8.84 dan RM5.35, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.68, IHH Healthcare meningkat tujuh sen kepada RM6.43, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM10.26.

Bagi saham aktif, ATA IMS dan Vortex meningkat 1.5 sen setiap satu masing-masing kepada 54.4 sen dan 21 sen, manakala CSH Alliance, Techna-X dan China Ouhua menokok setengah sen setiap satu kepada 14.5 sen, 10 sen dan 8.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 pulih 39.26 mata kepada 11,135.79, Indeks FBM Emas mengukuh 40.98 mata kepada 11,484.65 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 51.01 mata kepada 12,107.71.

Indeks FBM 70 turut meraih 83.84 mata kepada 13,822.14 sementara Indeks FBM ACE lebih tinggi sebanyak 31.58 mata kepada 5,836.69.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.50 mata kepada 213.52, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 34.71 mata kepada 16,753.69, dan Indeks Perladangan mengembang 27.53 mata kepada 8,502.87.

— BERNAMA