Sam Ke Ting
JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas seorang kerani selepas didapati bersalah memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lepas.
Ia sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan berkenaan.
Tertuduh, Sam Ke Ting, 27, turut diperintah menjalani hukuman selama enam bulan penjara lagi sekiranya  gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar menetapkam keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Ini merupakan notis rayuan pihak pendakwaan kali kedua selepas 11 Oktober tahun lepas terhadap pembebasan Ke Ting daripada pertuduhan berkenaan.
Memgikut kertas pertuduhan pada Februari  2021, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan Ke Ting, yang merupakan seorang jurujual ketika kejadian untuk membela diri.
Abu Bakar ketika membaca keputusan rayuan pendakwaan berkata, pihaknya berpuas hati segala intipati kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah berjaya dibuktikan.
Beliau berkata, mahkamah bicara didapati terkhilaf dalam menimbangkan semula isu dibangkitkan pada akhir kes pendakwaan berkaitan identiti pemandu kereta, kebolehterimaan eksibit dan tiada pengecaman atas mangsa.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya  Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan mempertimbangkan prinsip kepentingan awam.
Bagaimanapun, Ke Ting yang diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan memandangkan ini kesalahan pertama dan menanggung kedua ibu bapanya.
Muhammad Faizal turut memohon agar penangguhan pelaksanaan hukuman  ke atas anak guamnya yang mana hukuman bermula dari tarikh sabitan.
Bagaimanapun, rayuan itu ditolak mahkamah.
Mahkamah juga mengarahkan agar butiran sabitan dicatat dalam lesen memandu responden selain ia diserahkan pada atau sebelum esok untuk tindakan selanjutnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Remaja yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16,Fauzan Halmijan, 13Mohamad Azhar Amir, 16, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.-MalaysiaGazette