KUALA LUMPUR – Hari Raya Aidilfitri hampir menjelang tiba, namun masalah yang masih membelenggu perantau sama ada dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ialah harga tiket penerbangan yang mahal.
Masalah yang umpama tiada penghujung itu menjadi beban besar terutama kepada penuntut universiti yang ingin pulang menyambut hari raya bersama keluarga masing-masing.
Presiden Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS), Mohd Shahrul Izzat Basri berkata, setiap kali tiba musim perayaan harga tiket naik lebih 56 peratus iaitu RM2,000 bagi penerbangan Semenanjung ke Sabah.
Beliau berkata, peningkatan itu adalah bebanan besar yang perlu ditanggung oleh rakyat Sabah dan Sarawak yang hendak pulang menyambut perayaan.
“Bagi mahasiswa yang tidak mempunyai duit poket dalam kalangan keluarga B40 terpaksa memilih beraya di kampus setiap tahun.
“Isu ini ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, tiada usaha yang jelas dan terancang diambil pihak berwajib untuk memperjuangkan masalah rakyat di perantauan.
“Kebajikan kami yang berada di perantau juga perlu diambil peduli dan diperjuangkan bukan hanya ketika musim pilihan raya sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohd Shahrul Izzat, MARSIS mencadangkan kerajaan Sabah mencontohi usaha diambil kerajaan Sarawak melalui pelaksanaan i-GPS iaitu Subsidi Tambang Penerbangan Mahasiswa Anak Sarawak.
Kata beliau, i-GPS adalah subsidi tambang penerbangan yang diberi kerajaan Sarawak kepada mahasiswa anak Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.
“Nilai subsidi RM300 diberikan untuk dua kali penerbangan dalam setahun dengan permohonan boleh dibuat melalui aplikasi Yayasan Sarawak.
“Usaha itu menunjukkan Sarawak cakna terhadap kebajikan mahasiswa mereka yang berada di perantauan.
“Jadi, kita harap kerajaan Sabah juga mengambil peduli isu tersebut sebagai antara penyelesaian mendepani isu berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette