Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan . Foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Penjenayah yang giat melakukan samun bank bersenjata api dan menembak mati pengawal van keselamatan di hadapan Hong Leong Bank, Puchong Prima, Subang Jaya pada 11 Mac lalu lalu akhirnya dicekup polis.

DIa juga telah diheret ke muka pengadilan menghadapi lapan pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini termasuk membabitkan kes pembunuhan anggota polis lima tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Katanya, tertuduh juga berdepan pertuduhan cubaan membunuh rakan sekerja di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

“Tertuduh juga dituduh memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol semi automatik jenama Walther P99 dengan menyalahi undang-undang mengikut peruntukan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan.

“Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 3 akta senjata api (penalti lebih berat) 1971 yang boleh dihukum mati jika disabitkan kesalahan.

“Dalam tiga lagi penglibatan samun bank bersenjata api yang berlaku di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam, Selangor tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 3 akta yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd Jalil, dengan tertangkapnya tertuduh tersebut, Polis Diraja Malaysia turut berjaya merungkai kes pembunuhan melibatkan seorang anggota polis lima tahun lalu yang ditembak mati semasa sedang bertugas di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, kehilangan pistol milik anggota polis tersebut lima tahun lepas juga terjawab dengan rampasan sepucuk pistol semi automatik jenama Walther P99 daripada tertuduh.

“Siasatan polis juga berjaya mendedahkan pistol yang sama telah digunakan di dalam kes rompakan bank yang melibatkan tertuduh,” tegas beliau.