Aznynaqiah, ibu kepada Nur Iman Irdina Abdul Nuur, 4, yang maut dihempap tiang batu pagar rumah di Kampung Bukit Nangka, Gadek, semalam menyiram air di kubur anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai, Gadek, Melaka, hari ini.

ALOR GAJAH – “Sepatutnya, Sabtu ini kami sekeluarga rancang nak beli baju raya untuk Baby Dina, tapi tak Allah lebih menyayanginya,”

Itu luahan Aznynaqiah Mat Ali, 44, ibu kepada Nur Iman Irdina Abdul Nuur, 4, yang maut dihempap tiang batu pagar rumah di Kampung Bukit Nangka, Gadek, di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Nur Iman Irdina, 4, ditemui berlumuran darah oleh ibunya selepas tiang batu berkenaan tiba-tiba terjatuh menghempapnya menyebabkan kepalanya terhantuk di tebing longkang beranda rumah itu.

Aznynaqiah Mat Ali

Menurut Aznynaqiah, tiang batu berkenaan sudah retak sejak lebih 10 tahun lalu, namun keadaannya masih kukuh dan tidak membahayakan.

“Tapi abang ipar pun memang rancang nak baiki tiang itu Sabtu ini, tapi tak sangka pula Baby Dina main di situ sedangkan sebelum ini dia tidak pernah pun pegi ke situ.

“Selalunya dia main basikal atau bermain di taman permainan tapi saya reda dengan ketentuan Allah ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Binjai, Gadek di sini hari ini.

Nur Iman Irdina Abdul Nuur, 4, yang maut dihempap tiang batu pagar rumah di Kampung Bukit Nangka, Gadek, Melaka petang semalam.

Bercerita lanjut, Aznynaqiah berkata, ketika kejadian, dia dan anak bongsunya itu baharu pulang dari kedai membeli ais batu untuk persediaan berbuka puasa.

“Apabila tiba di rumah, Baby Dina pegi bermain di beranda sekejap sementara saya terus ke dapur yang jaraknya cuma 10 meter, tidak lama kemudian saya dikejutkan dengan bunyi hentakan yang sangat kuat.

“Saya terus begegas melihat keadaan anak dan terkejut apabila melihat kepalanya dan belakang badannya berlumuran darah bersama tiang batu berkenaan yang menghempapnya.

“Waktu itu, anak sudah longlai dan tidak bernyawa dan ketika dalam perjalanan ke hospital pun, mak saya yang memangkunya di belakang rasa badan anak sudah sejuk.

“Sebaik tiba di hospital, doktor cuba menyelamatkannya selama 20 minit, namun gagal dan disahkan sudah meninggal dunia,” katanya sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati, kematian berpunca daripada kesan hentakan yang kuat dari objek keras.

“Hasil siasatan awal didapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya. – MalaysiaGazette