KUANTAN – Dua buah rumah jenis separuh kekal di Kampung Sekur, pekan hangus dijilat api malam tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 9.12 malam.
Sujurus itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan dibantu tujuh anggota dari BBP Peramu dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran, ujar beliau.
“Keluasan rumah pertama berukuran 70 x 80 kaki persegi manakala rumah kedua berukuran 60 x 60 kaki persegi dan peratusan kebakaran kedua-dua rumah adalah 100 %,” katanya dalam kenyataan.
Zulfadli berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiada penghuni di kedua-dua rumah terbabit ketika kejadian berlaku. – MalaysiaGazette
















