KUALA LUMPUR – Taktik sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) yang disyaki diklon menjadi Vesel Nelayan Tempatan (VNT) untuk mengaburi penguat kuasa terbongkar selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan, Ahad lalu.
Vesel berkenaan ditahan kira-kira 85 batu nautika timur Muara Tok Bali pada pukul 6.32 petang.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, tangkapan dilakukan oleh kapal Maritim Malaysia yang sedang dalam pelayaran pulang selepas selesai eksesais Sea EXTHAMAL di Thailand untuk meneruskan operasi rutin Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris di sekitar perairan Tok Bali.
Menurutnya, ketika pelayaran, pihaknya mengesan sebuah vesel mencurigakan bernombor pendaftaran KNF 7386 sebelum mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, vesel tersebut bertindak cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan kira-kira pukul 6.32 petang pada kedudukan 85 batu nautika timur Muara Tok Bali.
“Hasil pemeriksaan dan pengambilan keterangan, kesemua suspek merupakan warga Vietnam berusia antara 17 hingga 49 tahun serta tidak mempunyai lesen dan dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan ke atas vesel itu turut mendapati ia disyaki pada asalnya sebuah VNA yang telah diklon menjadi VNT sebagai teknik penyamaran bagi mengaburi mata penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua suspek dan vesel ditahan serta dirampas sebelum dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan Malaysia. – MalaysiaGazette
















