Kenderaan kembali sesak berikutan kebanyakan sektor perniagaan dan sosial dibenar beroperasi bagi meningkatkan semula ekonomi di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pandemik yang tidak dapat diramal dan kelewatan pertumbuhan ekonomi menyumbang kepada pelaburan langsung asing (FDI) ke Selangor yang lebih rendah pada 2021, menurut Invest Selangor Bhd.

Cabang pelaburan kerajaan negeri Selangor itu berkata, FDI yang lebih rendah turut disebabkan ketiadaan misi promosi dan sesi libat urus negeri berkenaan di luar negara berikutan penutupan sempadan antarabangsa.

“Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor menerima sebanyak RM7.5 bilion nilai pelaburan dalam sektor pembuatan pada 2021, disumbangkan terutamanya oleh pelaburan langsung domestik (DDI) dengan nilai pelaburan RM6.1 bilion.

“Projek pelaburan dalam sektor getah, kimia, elektrik dan elektronik, dan kelengkapan pengangkutan merupakan antara industri utama dengan sumbangan 71 peratus bernilai RM5.36 bilion kepada jumlah nilai pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Invest Selangor berkata kluster industri tumpuan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada nilai pelaburan yang diluluskan.

Agensi itu berkata, di sebalik prestasi pelaburan yang lebih rendah, Selangor terus menerima jumlah projek pembuatan tertinggi dan mencipta peluang pekerjaan tertinggi di Malaysia iaitu 247 projek pelaburan dan 14,393 peluang pekerjaan untuk pekerja pelbagai bakat dan berbilang kemahiran.

Menurut kenyataan itu, Selangor telah berada di hadapan pada setiap tahun sejak 2017 dan menerima sebanyak 1,329 projek pelaburan dengan jumlah pelaburan modal RM67.5 bilion.

Projek-projek ini melahirkan sebanyak 83,934 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan di Selangor, katanya.

“DDI kekal sebagai sumber kukuh pelaburan bagi Selangor. Sejak 2017, negeri ini menerima RM31.1 bilion (46 peratus daripada jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan untuk 2017-2021), di samping mempertahankan DDI dengan purata RM6 bilion pada setiap tahun.

“Selangor akan terus menumpukan untuk menarik projek bernilai tinggi dan memberi impak kepada pelabur domestik dan asing berpotensi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada lebih 6.5 juta penduduknya,” kata Invest Selangor.

— BERNAMA