KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tidak perlu diwujudkan kalau bertujuan untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, ironinya, Perkara 48(6) adalah berkaitan dengan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen.
“Sedangkan, tindakan lompat parti tidak menjurus kepada peletakan jawatan.
“Di bawah peruntukan sekarang, Ahli Parlimen yang meletak jawatan tidak akan dibenarkan bertanding semula untuk tempoh lima tahun.
“Seharusnya, satu peruntukan khusus kepada sub-Perkara 48 berkaitan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen akibat lompat parti dan hukuman atau kesan kepada kerusi yang disandang digubal,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Beliau berkata, manakala Akta Anti Lompat Parti (AALP) pula digubal bagi memberikan tafsiran dan prosedur bagaimana tindakan diambil kesan daripada tindakan lompat parti.
Menurutnya, memansuhkan Perkara 48(6) itu berisiko untuk tindakan lompat parti melalui pintu belakang.
Ianya, dengan cara seseorang Ahli Parlimen itu meletak jawatan, kemudian boleh bertanding semula atas tiket parti lain tanpa dihalang untuk tempoh lima tahun.
“Jika senario ini berlaku, akan mematahkan tujuan AALP. Lagipun, pemansuhan peruntukan sedia ada ini membuatkan rakyat terpaksa berhadapan dengan pilihanraya berulang kali.
“Justeru, peruntukan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan sedia ada yang melarang seseorang Ahli Parlimen yang meletak jawatan menjadi Ahli Parlimen untuk tempoh lima tahun harus dikekalkan untuk dijadikan penghalang peletakan jawatan sewenang-wenangnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette