Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan . Foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pemilik akaun Facebook bernama Fahmi Reza telah ditahan untuk membantu siasatan polis berhubung isu penghantaran karikatur monyet berpakaian istana di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)Bukit Aman Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, Fahmi ditahan selepas disoal siasat dan diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Ya, saya boleh mengesahkan kita panggil individu itu (Fahmi Reza) tampil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes ini.

“Disahkan penama juga telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan pihak polis akan memohon perintah reman (ke atas Fahmi Reza) pada hari di mahkamah.,” katanya secara ringkas ketika dihubungi tadi.

Sementara itu dalam satu kenyataan berhubung kes tersebut, Abd Jalil turut menjelaskan Bukit Aman sedang melakukan siasatan kes terhadap hantaran karikatur oleh Fahmi.

Imej monyet berpakaian istana berwarna kuning itu telah dimuat naik menerusi Facebook Fahmi semalam.

“Hantaran itu telah 12,000 respons, 3,000 lebih komen dan 966 perkongsian dalam media sosial itu sejak dimuat naik sekali gus telah mengundang kemarahan warganet yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Tambah beliau, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut.

Fahmi turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan masih diteruskan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh institusi diraja serta sensitiviti agama dan kaum.

“Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak
menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara. tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” tegasnya. – MalaysiaGazette