Fayadh Zulkifli.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap Kedah Darul Aman FC, Fayadh Zulkifli sudah mahu melupakan kekalahan 1-4 kepada Selangor FC, malam Ahad lalu, sambil menganggap apa yang berlaku sebagai satu peringatan kepada pasukan bagi hadapi baki saingan Liga Super, musim ini.

Menurut Fayadh, fokus dia dan rakan sepasukan kini terarah kepada persiapan berdepan Penang FC, Ahad ini di Stadium Bandaraya dalam usaha mendapatkan semula rentak kemenangan bagi terus berada dalam kelompok atasan liga.

Walaupun Penang masih belum memenangi sebarang perlawanan setakat ini, pemain berusia 24 tahun itu tidak mahu memperkecilkan kemampuan pasukan jiran mereka itu sambil menyatakan peluang kedua-dua pasukan untuk meraih tiga mata adalah seimbang.

“Kami kalah kepada pasukan yang bermain dengan lebih baik pada minggu lalu dan Selangor ternyata berhak menang dalam perlawanan itu.

“Apa yang terjadi saya rasa ada hikmah kepada kami agar ambil pengajaran dan jangan cepat berpuas hati dengan prestasi masing-masing.

“Kami sudah lupakan kekalahan lalu dan tumpuan utama kini adalah perlawanan dengan Penang, kami mahu bangkit dan tidak mahu melalui satu lagi kekalahan.

“Saya percaya kami boleh mengatasi Penang jika kami berada di hari terbaik namun kami tidak boleh memandang rendah kekuatan lawan yang masih mencari kemenangan sulung, saya jangka aksi itu pasti sengit,” katanya.

Fayadh muncul penjaring tunggal buat Kedah menerusi gol pada penghujung perlawanan namun belum mampu cukup menutup kekalahan besar 1-4 di tangan Selangor.

Dia telah meledak empat jaringan setakat ini dengan dua daripadanya di Liga Super dan dua lagi gol di Piala FA.

Kedah kini berada di tangga ketiga melalui pungutan sembilan mata, dipintas Sabah FC yang berjaya menang tipis 1-0 ke atas Sarawak United di Stadium Negeri.

Sementara itu, Fayadh berkata, dia berharap kehadiran beberapa bekas pemain Penang seperti Al Hafiz Harun, Amer Azahar dan Khairu Azrin Khazali akan memberikan sedikit kelebihan buat Kedah.

“Kebetulan Kedah tahun ini ada ramai bekas pemain Penang dan harap mereka boleh memberikan tips dan sedikit corak permainan yang biasa diterapkan Penang di bawah (Tomas) Trucha.

“Walaupun mungkin tidak 100 peratus sekurang-kurangnya pemain lain mungkin boleh mendapat bayangan awal bagaimana aksi akan ditampilkan oleh Penang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast