LTAT

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) membenarkan pencarumnya membuat pengeluaran haji dan pengeluaran pendidikan sebahagian daripada usaha penambahbaikan skim persaraan LTAT serta memberikan nilai tambah untuk kesejahteraan pencarumnya.

Pengeluaran haji itu merupakan kemudahan pengeluaran dalam perkhidmatan yang disediakan LTAT untuk membenarkan pencarumnya yang layak mengeluarkan sebahagian simpanan persaraan mereka daripada Tabung Angkatan Tentera bagi membiayai kos menunaikan ibadah tersebut.

Bagi kemudahan pengeluaran haji, jumlah pengeluaran maksimum dihadkan kepada RM10,000 sahaja dan pencarum juga perlu mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun dengan lembaga itu.

Hanya pencarum yang telah menerima surat pengesahan tawaran mengerjakan haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) sahaja boleh mengeluarkan simpanan persaraan bagi tujuan ini.

Pengeluaran pendidikan pula membolehkan pencarum yang layak mengeluarkan sebahagian simpanan persaraan mereka daripada Tabung Angkatan Tentera bagi pembayaran balik jumlah yuran pendaftaran untuk semester pertama bagi tahun pertama
bagi pencarum yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di Universiti Awam Tempatan.

Langkah ini adalah sebagai inisiatif untuk meringankan komitmen kewangan bagi pencarum yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah di universiti awam tempatan.

Pencarum dikenakan bayaran balik untuk yuran pendaftaran tahun pertama (yuran pendaftaran) sahaja dan jumlah pengeluaran maksimum dihadkan kepada RM3,200 sahaja.

LTAT berkata, kedua-dua pengeluaran ini hanya dibenarkan sekali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan serta tertakluk kepada had baki caruman di dalam Akaun 2.

Berkuatkuasa pada 1 April 2022, akaun caruman ahli LTAT telah dibahagikan kepada Akaun 1 (60%) dan Akaun 2 (40%).

Tarikh kuatkuasa bagi kedua-dua pengeluaran ini adalah pada 15 April 2022, tambahnya.

Pengerusi LTAT, Tan Sri Raja Mohamed AffandiRaja Mohamed Noor berkata, LTAT komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pencarum.

”Kita mendukung aspirasi kerajaan untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa diutamakan. Kami di LTAT berharap kedua-dua kemudahan pengeluaran ini boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya dan memberikan nilai tambah baik dari segi sosio-
ekonomi, keberadaan keluarga mahupun kesejahteraan spiritual,” katanya. – MalaysiaGazette