Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahf Razali menangis teresak-esak ketika perbicaraan terhadapnya yang dituduh mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down di kenali Bella berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Siti Bainun yang sedang duduk di kandang tertuduh pada awalnya hanya kelihatan menitiskan air matanya sambil sesekali mengelap muka tetapi kemudian tangisan itu jelas kedengaran.

Situasi itu berlaku ketika saksi kelima, Yasmin Nahar Mahmood yang merupakan penghuni Rumah Bonda dilihat emosional ketika memberi keterangan.

Yasmin ketika itu diminta oleh pasukan pembelaan untuk membaca beberapa muka surat diari tentang isu-isu yang berlaku di Rumah Bonda.

Diari itu juga menjadi ‘tempat’ Yasmin meluahkan perasaannya.

Menerusi diari tersebut, Yasmin menulis tentang kebaikan dan jasa-jasa Siti Bainun terhadap keluarganya, membuatkan esakan wanita itu lebih jelas menyebabkan rata-rata hadir di galeri awam memerhatikannya.

Beberapa petikan menarik yang telah ditulis oleh Yasmin telah dibacakan di hadapan mahkamah.

Malah hakim sendiri meminta saksi membaca kembali apa yang tertulis oleh Yasmin.

Tulis Yasmin pada 11 Julai 2021 dalam bahasa Inggeris, dia berharap ‘Miss Zurianty’/masalah akan berakhir secepat mungkin.

“Saya tahu dia (she) yang mereka kebanyakan cerita-cerita palsu tentang Cik Siti Bainun. Mesti yang tanggung sakit paling teruk ialah Cik Siti Bainun. Sakit yang ditanggung olehnya bukan sikit tetapi paling sakit dalam dunia ini.

“Allah akan sentiasa di sisi Cik Siti,” tulisnya.

Satu lagi ayat yang ditulis dan diperdengarkan tentang perasaan Yasmin tentang Rumah Bonda itu ialah “Siti Bainun binti Abd Razali, kami sayang Bonda.

“Cinta, sayang, gembira, memori bersama, kongsi, seronok, pengajaran dan manis. Itu antara yang boleh kami gambarkan tentang ‘Rumah’ kami. Terima kasih tidak terhingga kepada Bonda yang telah banyak menjaga ibu dan anak-anak. Kami semua boleh belajar dengan banyak di sini. Semoga Allah akan terus memberi rahmat kepada Bonda, keluarga dan Rumah Bonda,” tulisnya.

Yasmin juga  berterima kasih dengan Siti Bainun kerana berjaya memberikan memori  manis kepadanya.

Ketika itu Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi bertanya adakah itu tulisan tangan dan ditulis olehnya, Yasmin berkata ‘ya’.

Ketika itu Siti Bainun terus menangis.

Semalam, dalam keterangannya Yasmin berkata, Siti Bainun mendera Bella setiap hari selama hampir empat bulan, pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette