Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) bersama yang lain melancarkan Prinsip Tadbir Urus Baik Bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 15 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Enam buah organisasi di bawah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) berjaya menguruskan pelaburan bernilai RM1.7 trilion.

Enam GLIC berkenaan adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Khazanah Nasional Berhad; Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,  ini menjadikan kesemua GLIC sebagai organisasi yang memainkan peranan penting menarik pelabur sekaligus memacu pembangunan infrastruktur yang kritikal dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi.

Demi memangkin pertumbuhan industri baharu yang berhadapan dengan cabaran akibat pandemik dan meningkatkan penjajaran GLIC kepada agenda pembangunan negara, Kementerian Kewangan (MOF) pada 18 bulan lalu telah melakukan penyusunan semula GLIC dan GLC.

“Program penyusunan semula jangka sederhana ini bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan GLIC dan GLC dalam menghadapi pelbagai cabaran baharu pasca-pandemik, dan mengoptimumkan peranan Kerajaan dalam sektor perniagaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Prinsip Tadbir Urus Baik Bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (PGG) di sini hari ini.

Selain itu ujar Zafrul, penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjadi asas wujudnya dokumen PGG.

Menurut beliau, garis panduan dalam dokumen PGG  diwujudkan untuk menajamkan peranan semua GLIC dalam menghadapi cabaran di masa hadapan.

“Program penyusunan semula jangka sederhana ini bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan GLIC dan GLC dalam menghadapi pelbagai cabaran baharu pasca-pandemik, dan mengoptimumkan peranan Kerajaan dalam sektor perniagaan,” jelasnya.

Zafrul berkata, PGG yang didokumenkan mempunyai tiga prinsip utama iaitu kepimpinan dan keberkesanan lembaga pengarah; memastikan komposisi lembaga pengarah yang optimum, berkelayakan dan berwibawa dan menyokong pengendalian pelaburan dengan efektif. – MalaysiaGazette