KUBANG PASU – Ketegasan seorang anak meneruskan kaedah pembuatan lemang tradisi yang diwarisi daripada bapanya menjadikan ‘Lemang Lebuhraya’ di tepi jalan Kampung Jenalik, Changlun sentiasa menjadi igauan ramai.
Selain itu, lokasi gerai yang menjadi nadi penghubung bagi mereka yang pulang beraya ke utara tanah air turut dikatakan menjadi faktor lemang yang dihasilkan Muhammad Farid Khasim, 30, popular.
Kata Muhammad Farid, sudah menjadi rutin setiap tahun bagi dirinya meninggalkan kerja hakiki di sebuah kedai makan selama dua bulan untuk menjual lemang sepanjang Ramadan dan Syawal.
Jelasnya, perniagaan itu diusahakan arwah bapanya sejak 2007 sebelum dia mengambil alih sepenuhnya pada tahun 2013.
“Banyak cabaran yang saya lalui ketika menguruskan perniagaan itu sendiri pada usia 21 tahun antaranya kekurangan jumlah pelanggan dengan alasan mereka tidak yakin lemang yang dijual sama seperti hasil air tangan arwah bapa.
“Bagaimanapun, saya berjaya buktikan resipi warisan lebih 50 tahun yang diperturunkan ayah itu masih kekal sekali gus menepis presepsi orang ramai bahawa anak muda tidak mampu melakukannya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Ketika ditanya mengapa ramai orang menggemari lemang beliau, anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, penggunaan beras pulut dari negara jiran antara ramuan bagi setiap lemang yang dihasilkannya.
Selain itu, Muhammad Farid turut memberitahu, aroma daripada santan dan beras pulut susu yang dibakar menggunakan kayu getah bukan sahaja harum malah ia menjadikan lemang bertambah sedap.
“Semua proses menghasilkan lemang ini akan diuruskan oleh saya dengan bantuan ibu serta abang saya. Kami akan mulakan proses mencuci buluh bermula jam 7 pagi di rumah dan disusuli penyediaan beras pulut susu serta santan untuk dibawa ke lokasi perniagaan.
“Sehari saya akan menggunakan 15 kilogram (kg) beras pulut susu dan untuk memastikan lemang yang dihasilkan sedap serta berlemak hampir 8 kg santan akan digunakan setiap hari.
“Setiap hari saya boleh hasilkan kira-kira 60 hingga 70 batang lemang dan ia akan dijual mengikut saiz iaitu daripada RM7 hingga RM12 sebatang,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Mati, Langgar, Alor Setar.
Mengulas lanjut Muhammad Farid berkata, dalam tempoh dua bulan perniagaan itu dia mampu menjual 5,000 batang lemang dan jumlah itu meningkat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu. – MalaysiGazette