ZAHIDI ZAINUL ABIDIN (kanan) dan isteri, Nooraine Ahmad (kiri) ketika berkunjung ke rumah Munah Hassan (dua dari kiri) dan anaknya, Murni Mat, untuk menyampaikan zakat dan bantuan di Kampung Medang Gatal, Beseri, Padang Besar, Perlis baru-baru ini.

PADANG BESAR – Kasih ibu sampai akhir hayat.

Itulah yang dibuktikan oleh Munah Hassan, 80, di Kampung Medang Gatal, Beseri, Perlis dekat sini yang tetap setia menjaga anaknya, Murni Mat, 60, seorang insan istimewa.

Tiada yang lebih penting dalam hidup Munah, hanyalah menjaga Murni yang sejak lahir cacat seluruh anggotanya selain terdapat ketumbuhan pada muka serta bahagian badannya.

Sejak dilahirkan, Munah akan menjaga, memandi serta menyuapkan susu serta makanan kepada Murni yang hanya mampu terlantar serta terbaring.

Setiap kali mendengar Murni merengek tanda kelaparan tanpa mengira waktu Munah akan bangun dari tidur dan menjaga anaknya itu.

Kesetiaan Munah yang kasih kepada anak kedua daripada empat beradik itu berbaloi apabila hingga kini walaupun Murni sudah berusia 60 tahun namun kehidupan Murni sentiasa dijaga dengan penuh kasih sayang dan belaian.

“Inilah anugerah amat besar kepada saya. Sejak lahir hingga dia berusia 60 tahun, saya tetap berada di sisi Murni. Yang pasti, Murni tahu siapa ibunya,” kata Munah dalam sebak.

Menurut Munah, memang sejak lahir tiada apa yang dapat dilakukan untuk mengubati Murni namun dia sentiasa berdoa agar dapat terus menjaga anaknya itu selagi hayat dikandung badan.

Setiap hari, Munah akan memberi makan, mengelap badan anaknya selain bercakap  ke telinga anaknya.

“Saya berdoa terutama dalam setiap Ramadan agar apa yang saya bisikkan itu Murni akan faham walaupun tiada banyak reaksi diberikan kepada saya.

“Malah, setiap sambutan Aidilfitri walaupun orang lain bergembira, bagi saya, hidup bersama Murni adalah kegembiraan paling bermakna,” katanya.

Di samping itu, Munah juga berterima kasih kepada Ahli Parlimen Padang Besar yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin serta isteri, Datin Nooraine Ahmad yang kerap menziarah serta menghulurkan bantuan selain bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri Beseri, Ruzaini Rais.

“Setiap bulan, Datuk Zahidi dan Datin Nooraine akan singgah di rumah kami apabila mereka ada program di sini selain menghulurkan bantuan dan bertanyakan khabar,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Munah  tidak berapa ingat bila arwah suaminya meninggal dunia kerana perkara itu berlaku terlalu lama.

Sementara itu, Nooraine berkata, kehadirannya bersama suami, Zahidi, selain menghulurkan bantuan juga menyerahkan zakat.

Setiap tahun, Nooraine dan Zahidi akan menyerahkan zakat kepada keluarga berkenaan.

“Kehadiran kami berdua sentiasa dialu-alukan oleh Munah dan anaknya, Murni. Malah kami selesa apabila berkunjung ke rumah mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ruzaini berkata, pihaknya sentiasa memantau keperluan Munah dan anaknya bagi memastikan mereka memiliki setiap keperluan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast