Bot nelayan asing yang berjaya dikesan dan diusir keluar dari perairan negara berhampiran Pulau Perak, Lumur Perak semalam. Ihsan foto TLDM Lumut.

KUALA LUMPUR – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Jebat berjaya mengekang cubaan pencerobohan 21 buah bot nelayan asing daripada memasuki perairan Pulau Perak lebih kurang jam 4.30 petang semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik markas Pemerintahan Armada Barat Lumut, Perak dalam kenyatan malam tadi berkata, maklumat cubaan 21 bot nelayan asing itu menceroboh perairan negara itu diterima daripada Maritime Component Commander (MCC) Barat.

“MCC mengatur gerak KD Jebat untuk ke lokasi pengesanan awal bot nelayan asing tersebut iaitu di sekitar perairan selatan Pulau Perak.

“Sejurus tiba di posisi pengesanan, KD Jebat bertindak mengusir tiga bot nelayan asing dan mengekori bot-bot tersebut sehingga ia keluar meninggalkan sempadan perairan negara,” kata menerusi kenyataan tersebut.

Baki 18 buah bot nelayan asing lagi dipercayai turut meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara.

Terdahulu, pesawat B200T (RMF 377) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan kesemua 21 buah bot nelayan asing pada kedudukan berbeza iaitu pada 36 batu nautika Selatan Pulau Perak dan 40 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

“ATM amnya tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan keselamatan dan
ketidakpatuhan undang-undang negara.

“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa memperkasakan kesiagaan aset-aset OP Benteng Laut demi menjaga perairan dan kedaulatan negara,” tegasnya.- MalaysiaGazette