Takiyuddin Hassan PAS Ismail Sabri PM
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas memulangkan paku buah keras kepada pembangkang dengan mengatakan pihaknya turut tidak mahu mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak mahu untuk berada dalam khemah besar PH.

“Pas mengucapkan terima kasih di atas kenyataan Presiden Amanah yang mengesahkan bahawa Pas tidak mempunyai sebarang hubungan dan sekaligus tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) dalam pendekatan ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Pas sepanjang masa amat konsisten dengan pendirian mendokong dan memperkuatkan Kerajaan Persekutuan yang diterajui bersama oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan STAR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dinyatakan Pas setelah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata pendekatan ‘Khemah Besar’ yang dianjurkan Amanah tidak akan disertai UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Sebaliknya, Mohamad Sabu berkata pendekatan itu khusus untuk parti politik PH sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin berkata, parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu yakin pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai menerusi kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera adalah formula yang paling berkesan serta akan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

“Pas juga melalui pendekatan Politik Matang dan Sejahtera sentiasa komited dan sedia berbincang dan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU-15. Apa yang penting dalam era pasca pandemik ini adalah kepentingan rakyat dan negara diutamakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. PANkhianat …P akatan H ancing P unah H arapan lagak seperti hidung tidak mancung pipi disorong..orang makan ROJAK mereka makan Kapur….orang tidak AJAK mereka masuk CAMPUR

Comments are closed.