BAYAN LEPAS – Gara-gara tidak tahan dirinya asyik difitnah, seorang nelayan bertindak menyerang bapa saudaranya dalam satu kejadian di hadapan sebuah kedai di Kampung Binjai di sini, pada Jumaat lalu.

Mangsa dikatakan diserang suspek berusia 35 tahun itu pada jam 4.30 petang menggunakan sebilah parang panjang.

Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan kecil di telinga kiri selain bengkak di bahagian mata kiri.

Susulan itu, mangsa membuat laporan polis sebelum pihak polis mengesan dan memberkas mangsa pada Sabtu lalu.

Suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Barat Daya menerusi Ops Cantas pada jam 10.15 malam di Permatang Damar Laut, di sini.

Turut dirampas parang yang digunakan suspek untuk menyerang mangsa.

MalaysiaGazette difahamkan, hasil siasatan polis berlaku perselisihan faham antara suspek dengan bapa saudaranya selain dia tidak puas hati dirinya asyik ditohmah oleh mangsa.

Semakan polis juga mendapati suspek yang masih bujang itu mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

Terdahulu, Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya memuat naik kejayaan pihaknya menyelesaikan kes tersebut susulan tangkapan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette